Sabtu, 29 Jun 2013

ALAM BARZAKH BAHAGIAN 3

1.    Apakah itu mati?
Mati, ialah perpisahan antara roh dengan jasad setelah dicabut oleh malaikat Izrail a.s. Jasad yang tidak berjiwa akan dimandikan, dikafankan, disembahyangkan, dan dikuburkan. Semasa berada di dalam kubur, jasad tersebut akan berada dalam keadaan yang bagaimana mengikut amalan semasa berada di dunia dan setelah menjawab soalan daripada malaikat Munkar dan Nakir. Jasad tersebut akan terus berada di dalam kubur tersebut sehingga tiba Hari Yang Penuh Huru-Hara atau hari yang lebih dikenali, iaitu Hari Kiamat. Firman Allah yang bermaksud :
“Bagaimana kamu ingkar kepada Allah, padahal kamu (tadinya) mati, lalu Dia menghidupkan kamu, kemudian Dia mematikan kamu lalu Dia menghidupkan kamu kembali. Kemudian kepada-Nyalah kamu dikembalikan.” (Surah al-Baqarah : 28)
2.    Makhluk yang berjiwa pasti akan merasai mati
Ketahuilah bahawa setiap orang yang hidup di alam dunia pasti akan merasai mati, tidak kira walau bagaimanapun cara kematian itu. Firman Allah yang bermaksud :
“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Sesiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.” (Surah Ali ‘Imran : 185)
3.    Bilakah tibanya masa kematian itu?
Masa kematian itu tidak diketahui oleh sesiapapun melainkan Allah. Tarikh kematian seseorang insan itu telah ditetapkan sejak azali lagi. Firman Allah yang bermaksud :
“Katakanlah, “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Ju’muah : 8)
“Dan setiap yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Sesiapa yang mengkehendaki pahala dunia, nescaya Kami berikan kepadanya pahala (dunia) itu, dan barang siapa yang mengkehendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala (akhirat) itu, dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Surah Ali Imran : 145)
            Apabila ajal seseorang itu telah tiba juga, ia tidak lagi akan dapat diundur atau dipercepatkan. Firman Allah yang bermaksud :
“Maka apabila telah tiba waktu (yang ditentukan) bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkan walaupun sesaat dan tidak (pula) mempercepatkannya.” (Surah an-Nahl : 61)
4.    Keluarnya roh daripada tubuh
Cara roh keluar daripada jasad adalah berbeza-beza mengikut amalan agamanya. Jika baik agama dan amalannya, maka eloklah cara kematiannya, manakala bagi yang buruk agama dan amalannya, maka teramatlah perit cara kematiannya. Ada dikatakan bahawa rasa sakitnya mati itu adalah seperti dicucuk dengan 300 pedang.
            Selepas dimandi, dikafan, disembahyang dan dikuburkan, maka datanglah dua malaikat Munkar dan Nakir. Kedua malaikat tersebut akan bertanyakan beberapa soalan kepada si mati. Antara soalannya, ialah siapakah Tuhanmu? Apakah agamamu? Dan beberapa soalan lain. Jika si mati dapat menjawabnya dengan betul makan berbahagialah si mati di dalam kubur sehingga tiba hari kiamat.
5.    Cara roh dicabut
Kerja-kerja untuk mencabut nyawa makhluk-makhluk Allah telah diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya daripada golongan malaikat, iaitu malaikat Izrail as.
            Disebutkan dalam kitab as-Suluk daripada Muqatil Sulaiman, bahawa malaikat maut mempunyai ranjang di langit yang ketujuh, manakala dalam riwayat yang lain pada langit keempat. Ia memiliki 70,000 kaki dan 4,000 sayap. Seluruh tubuhnya penuh dengan mata dan mulut. Wajah, mata, tangan dan telinganya adalah sama dengan bilangan manusia. Ia mencabut nyawa dengan melihat wajah yang setentang dengan wajahnya.
            Jika satu nyawa telah mati, maka hilanglah satu rupa daripada badannya. Ada juga dikatakan bahawa malaikat maut berwajah empat. Satu wajah pada muka, pada kepala, pada punggung dan di bawah kedua telapak kakinya. Ia akan mencabut nyawa para nabi dan malaikat daripada wajah kepalanya, nyawa orang mukmin daripada wajah di muka, orang kafir daripada wajah di punggung, manakala nyawa jin daripada wajah di kedua telapak kakinya.
6.    Pertanyaan roh
Terdapat riwayat yang mengatakan bahawa semasa malaikat maut ingin mencabut nyawa seorang mukmin, maka rohnya akan berkata kepada malaikat maut, “Aku tidak akan ikut selagi engkau belum diperintah untuk urusan itu.” Lalu roh tersebut akan meminta tanda-tanda kebenaran untuk mengambil rohnya. Maka kembalilah malaikat maut kepada Allah, lalu Allah berfirman “Adakah engkau sudah mencabut nyawa daripada seorang hamba-Ku?” malaikat maut menjawab, “ Ya Allah, bahawasanya hamba-Mu berkata sedemikian.... dan meminta tanda-tanda daripada ku.” Allah berfirman “Wahai malaikat maut, pergilah ke syurga dan ambillah tuffah dan itulah tanda-tanda daripada-Ku, maka perlihatkanlah kepada hamba-Ku itu itu.” Lalu malaikat maut menuju ke syurga dan mengambil tuffah tersebut, dimana ia tertulis ‘Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang’. Setelah tuffah tersebut dilihat oleh roh tersebut, maka roh tersebut keluar dalam keadaan yang baik.
7.    Jawapan anggota badan
Terdapat riwayat semasa roh seseorang hamba itu akan dicabut nyawanya, malaikat maut akan cuba menarik rohnya daripada mulut, tetapi tidak dapat. Mulut mengatakan bahawa tidak ada jalan bagi roh ini keluar daripadaku, kerana mulutnya selalu berzikir. Kemudian malaikat maut kembali kepada Allah dan menceritakan hal sedimikian kepada Allah. Lalu Allah memerintahkan kepada malaikat maut supaya mencabut nyawa hambanya itu daripada arah yang lain. Malaikat maut kembali kepada roh tersebut dan cuba untuk mencabutnya melalui tangan, tetapi tidak dapat juga kerana tangan berkata bahawa tangannya selalu digunakan untuk kebaikan semasa hidupnya seperti bersedekah. Malaikat maut beralih arah kepada bahagian kaki, tetapi kaki juga tidak membenarkan roh hamba itu keluar daripada kaki, kerana kakinya selalu digunakan untuk ke masjid dan ke majlis-majlis ilmu.
            Kemudian malaikat maut pergi kepada bahagian mata, tetapi tidak juga dibenarkan oleh mata untuk mancabut nyawa hamba tersebut daripadanya kerana matanya telah digunakan untuk melihat Quran, wajah-wajah para alim ulama’, kedua ibu bapanya dan pada solihin. Akhirnya, malaikat maut kembali keada Allah dan berkata “Wahai Tuhanku, bahawasanya hamba-Mu berkata sedemikian.....”
            Maka Allah Ta’ala berfirman, “Wahai malaikat maut, tulislah nama-Ku pada tapak tanganmu dan perlihatkanlah kepada roh hamba-Ku itu.” Setelah malaikat maut membuat sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah kepadanya, akhirnya malaikat maut berjaya menarik roh tersebut keluar daripada badan dalam keadaan yang baik. Firman Allah yang bermaksud :
“Maka apakah orang-orang yang dibukakan hatinya oleh Allah untuk (menerima) agama Islam lalu dia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang hatinya keras)? Maka celakalah mereka yang hatinya telah menjadi keras untuk mengingati Allah. Mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata.” (Surah az-Zumar : 22)
8.    Cara syaitan menghasut semasa saat terakhir roh
Syaitan itu merupakan musuh bagi umat manusia yang nyata. Ia merupakan makhluk yang tinggal di alam ghaib, diciptakan daripada api, dibenarkan hidup sehingga ke hari kiamat dan telah berjanji untuk menyesatkan umat manusia daripada kebenaran yang nyata. Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah : 208)
“Sesungguhnya (syaitan) itu hanyalah menyuruh kamu agar berbuat jahat dan keji dan mengatakan apa yang kamu tidak ketahui mengenai Allah” (Surah al-Baqarah : 169)
            Semasa saat terakhir seseorang manusia di atas muka bumi ini, syaitan akan cuba melakukan apa sahaja yang boleh dilakukan agar manusia mati dalam keadaan tidak beriman kepada Allah. Syaitan akan mendatangi hamba itu sambil membawa semangkuk air, lalu menggerakkan air tersebut kepadanya. Syaitan akan menyuruh hamba itu mengatakan bahawa Rasulullah itu dusta, kemudian barulah dia akan memberikan air itu. Hal ini demikian, semasa saat terakhir itu tubuh akan berasa sungguh panas dan berada dalam keadaan dahaga. Justeru itulah, syaitan membawa semangkuk air tersebut sebagai balasan jika hamba tersebut menurut apa yang diminta oleh syaitan, tetapi air yang ditawarkan oleh syaitan itu hanyalah khayalan semata-mata. Maka berbahagialah kepada jiwa yang menolak air tersebut dan celakalah bagi orang yang menerima air tersebut. Firman Allah yang bermaksud :
“Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, padahal syaitan itu hanya menjanjikan tipu daya kepada mereka.” (Surah an-Nisa : 120)
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam.” (Surah Ali Imran : 102)
9.    Panggilan kepada mayat
Terdapat riwayat menceritakan, taktala roh berpisah daripada tubuh, terdapat suara daripada langit yang berbunyi : Wahai anak Adam,
a.    Apakah kamu meninggalkan dunia atau dunia meninggalkan kamu?
b.    Apakah kamu mengumpulkan dunia atau dunia mengumpulkan kamu?
c.    Apakah kamu mematikan dunia atau dunia mematikan kamu?
Semasa jasad berada di tempat mandi, terdapat suara yang berbunyi : Wahai anak Adam,
a.    Dimanakah tubuhmu yang kuat, bukankah sekarang kamu menjadi lemah?
b.    Dimanakah mulutmu yang berbicara, bukankah sekarang kamu menjadi diam?
c.    Dimanakah semua temanmu, bukankah mereka sekarang mengasingkan kamu?
Semasa jasad berada di tempat untuk dikafankan, maka terdapat suara yang berbunyi : Wahai anak Adam,
a.    Pergilah kamu ke tempat yang jauh tanpa membawa bekal!
b.    Keluarlah kamu dari rumahmu dan jangan kembali semula!
c.    Naiklah kuda dan kamu tidak akan naik seperti itu selamanya, kamu akan menjadi sesuatu di dalam rumah yang penuh kesedihan!
Semasa jasad sedang diusung, terdapat suara yang berbunyi : Wahai anak Adam,
a.    Sangat berbahagialah kamu jika kamu termasuk orang yang bertaubat.
b.    Sangat berbahagialah kamu jika amalmu baik.
c.    Sangat berbahagialah kamu jika sahabatmu dalam keredaan Allah dan alangkah celakanya kamu jika para sahabatmu orang yang dimurkai Allah.
Semasa jasad berada diruang untuk disembahyangkan, terdapat suara yang berbunyi : Wahai anak Adam,
a.    Segala amalan yang telah kamu lakukan akan kamu lihat!
b.    Jika amal perbuatanmu baik, maka kamu akan menjadi baik!
c.    Jika amal perbuatanmu buruk, maka kamu akan menjadi buruk!
Semasa jasad berada di tepi kubur, terdapat suara yang berbunyi : Wahai anak Adam,
a.    Bukankah kamu menambah damai di tempat yang sempit ini?
b.    Bukankah kamu membawa kekayaan di tempat kefakiran ini?
c.    Bukankah kamu membawa cahaya penerang di tempat yang gelap ini?
Semasa jasad diletakkan ke dalam liang lahad, terdapat suara yang berbunyi : Wahai anak Adam,
a.    Kamu berada di atasku bersenda gurau, tetapi kamu menangis di dalamku.
b.    Kamu berada di atasku bergembira, tetapi kamu menjadi cemas dan duka di dalamku.
c.    Kamu berada di atasku dapat berbicara, tetapi kamu menjadi diam di dalamku.

10. Ucapan roh setelah keluar
Ketika hendak dimandikan, maka berkatalah roh :
i.              Wahai orang yang memandikan aku, aku minta kepadamu kerana Allah, untuk melepaskan pakaian aku dengan sebaik-baiknya, kerana saat ini aku baru sahaja dicabut nyawaku daripada jasadku.
ii.            Wahai orang yang memandikan roh, janganlah engkau menuangkan air itu dalam keadaan yang panas. Dan janganlah pula air yang panas dan janganlah pula air yang sejuk. Kerana tubuhku dalam keadaan terbakar selepas rohku dicabut.
iii.           Demi Allah wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menggosok aku dengan kuat. Sebab tubuhku penuh dengan kesakitan setelah keluarnya roh.
Ketika hendak dikafankan, maka roh berkata :
“Wahai orang yang mengakafankanku, janganlah kamu mengkafanku dengan kasar pada bahagian kepalaku, kerana aku ingin melihat wajahku, anak-anakku dan kerabatku. Sebab ini adalah penglihatanku yang terakhir buat mereka. Adapun aku pada hari ini memisahkan mereka dan aku tidak akan melihat mereka sehingga hari kiamat.”
Ketika dikeluarkan daripada rumah, maka roh berkata :
“Demi Allah wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi janda. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim, maka janganlah kamu menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari ini aku dikeluarkan dari rumahku dan aku tidak akan kembali buat selama-lamanya.”
Ketika mayat diletakkan di dalam peti jenazah, maka roh akan berkata :
“Demi Allah wahai jemaahku, janganlah kalian mempercepatkan aku sehingga aku mendengar suara ahli keluargaku, anak-anakku dan para sahabarku. Sesungguhnya aku pada hari ini berpisah dengan mereka sehingga ke hari kiamat.”
Ketika jenazah diusung, maka roh akan berkata :
“Wahai para kekasihku, wahai saudara-saudaraku dan wahai anak-anakku, janganlah kalian diperdayakan oleh dunia sebagaimana ia telah memperdayakan aku. Dan janganlah kalian bermain-main pada masa ini sebagaimana ia telah mempermainkan aku. Hendaklah kalian mengambil iktibar daripada kematian aku. Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang telah aku kumpulkan untuk para warisku. Dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku. Adapun di dunia Allah menghisab aku, padahal kamu semua berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku.”
Ketika jenazah diletakkan ke dalam liang lahad, maka roh akan berkata :
“Demi Allah, wahai warisku, bukankah aku menggumpulkan harta yang banyak semasa di dunia dan aku tinggalkan ia untuk kalian. Maka hendaklah kalian mengingatku dengan memperbanyak kebaikan kalian. Aku telah mengahar kalian akan al-Quran dan adab kesopanan. Maka janganlah kalian daripada doa kalian.”
11. Roh kembali ke rumahnya?
Terdapat riwayat yang mengatakan bahawa jika datangnya Hari Raya, Hari Asyura’, Hari Jumaat dalam bulan Rejab, malam Nisfu Sya’aban, Lailatul Qadr dan malam-malam jumaat, para roh akan berada di pintu-pintu rumahnya sambil berkata, ‘Kasihanilah daku pada malam yang berkat ini dengan sedekah, tetapi mengapa tidak mahu berikan? Maka ingatlah daku dengan menyedekahkan kami al-Fatihah pada malam yang berkat ini.’
      Jika roh mendapat sedekah dan doa daripada kaum kerabatnya, ia akan pulang dengan perasaan yang gembira, manakala jika tidak mendapat apa-apa ia akan pulang dalam keadaan yang sedih.
12. Ciri-ciri kematian
Mati dapat dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu mati dalam keadaan yang baik dan yang buruk. Mereka yang mati dalam keadaan yang baik, insya’Allah akan selamatlah di alam kubur, manakala mereka yang mati dalam keadaan yang hina maka akan terseksalah di alam barzakh. Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah sesekali kamu mati melainkan dalam keadaaan Islam.” (Surah Ali Imran : 102)
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Bila mana Allah mengkehendaki kebaikan seseorang akan diberikannya kedudukan yang baik. Salah seorang bertanya kepada Rasulullah : ‘Bagaimana caranya diberi kedudukan?’ Rasulullah menjawab : ‘Ditunjukkannya ke arah perbuatan yang baik sebelum meninggal dan setelah itu barulah dicabut nyawanya.” (HR. Ahmad, Tirmizi, Ibnu Hibban dan al-Hakim daripada Anas)

      Mudah-mudahan kita semua termasuk dalam golongan yang mati dalam keadaan yang baik dan dapat mengucapkan dua kalimah syahadat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan