Jumaat, 20 Julai 2012

KHUTBAH RASULULLAH MENYAMBUT RAMADHAN



Wahai manusia, sudah datang kepada kalian bulan Allah dengan membawa keberkatan rahmat dan keampunan. Bulan yang paling mulia di sisi Allah. Hari – harinya adalah hari – hari yang paling utama. Malam – malamnya adalah malam – malam yang paling utama. Jam demi jamnya adalah jam – jam yang paling utama.
            Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya. Di bulan ini nafas – nafasmu menjadi tasbih, tidurmu adalah ibadat, amal – amalmu diterima dan doa – doamu dimakbulkan . Mohon kepada Allah, Tuhanmu dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu bagi melaksanakan puasa dan membaca kitab-Nya.
            Malang bagi orang yang tidak mendapat ampunan Allah di bulan yang agung ini. Kenang dengan rasa lapar dan hausmu, kelaparan dan kehausan di hari kiamat. Bersedekah kepada fakir miskin. Muliakan orang tuamu, sayangi yang muda, sambungkan tali persaudaraanmu, pelihara lidahmu, kawal pandanganmu dari apa yang tidak halal bagi kamu memandangnya dan kawal pendengaranmu dari apa yang tidak halal bagi kamu mendengarnya. Kasihi anak – anak yatim, nescaya dikasihi manusia anak – anak yatimmu.
            Bertaubat kepada Allah dari dosa – dosamu. Angkat tangan – tanganmu untuk berdoa pada waktu solatmu kerana itu adalah saat – saat yang paling utama ketika Allah memandang hamba – hamba-Nya dengan penuh kasih sayang ; Dia menjawab permintaan mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyambut mereka ketika mereka memanggil-Nya dan mengabulkan doa mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.
            Wahai manusia! Sesungguhnya diri – dirimu tergadai kerana amal – amalmu, bebaskan ia dengan istigfar. Belakangmu berat kerana beban dosamu, ringankan dengan memanjangkan sujudmu.
            Ketahuilah, Allah Taala bersumpah dengan segala kebesaran-Nya, dia tidak akan mengazab orang yang solat dan sujut, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri dihadapan Tuhan seluruh alam.
            Wahai manusia, siapa di antara kamu memberi jamuan berbuka puasa kepada orang Islam yang berpuasa pada bulan ini, di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang budak dan dia diberi ampunan atas dosa – dosa yang lalu.
            Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, tidaklah kami semua mampu berbuat demikian.” Rasulullah meneruskan khutbahnya, “Pelihara dirimu dari api neraka walau pun hanya dengan sebiji kurma. Pelihara dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan seteguk air.”
            Wahai manusia, siapa yang membaguskan akhlaknya di bulan ini, ia akan berhasil melewati Sirat al-Muntaqim pada hari ketika kaki – kaki tergelincir. siapa yang meringankan pekerjaan orang yang memiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) di bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya di hari kiamat. siapa menahan sikap buruknya di bulan ini. Allah akan menahan kemurkaan-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.
            Siapa yang memuliakan anak yatim pada bulan ini, Allah memuliakannya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa menyambungkan tali persaudaraan pada bulan ini, Allah akan menghubungkannya dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-NYa. Siapa meneruskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan meneruskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.
            Siapa melakukan solat sunat di bulan ini, Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. Siapa yang melakukan solat fardu, baginya ganjaran seperti melakukan 70 solat fardu pada bulan lain.
            Siapa memperbanyakkan selawat kepadaku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan menjadi ringan. Siapa membaca satu ayat al-Quran pada bulan ini, ganjarannya sama seperti mengkhatamkan al-Quran pada bulan – bulan yang lain.
            Wahai manusia! Sesungguhnya pintu – pintu syurga dibukakan bagimu, mohon kepada Tuhanmu agar tidak pernah menutupkannya bagimu. Pintu – pintu neraka tertutup, mohonlah kepada Tuhanmu agar ia tidak akan dibukakan bagimu. Syaitan – syaitan terbelenggu, mintalah agar ia tidak lagi dapat menguasaimu.
            Ali bin Abi Talib yang meriwayatkan hadis ini, berdiri dan berkata, “Wahai Rasulullah, amal apakah yang paling utama di bulan ini?” Jawab Nabi, “Wahai Abu al-Hasan, amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah.”
Inti Sari Khutbah
Ø  Bulan Ramadhan adalah bulan terbaik daripada seluruh bulan. Kerana pada bulan ini, setiap perbuatan diberikan ganjaran, doa dimakbulkan dan amalan – amalan diterima.
Ø  Berpuasa mengingatkan kita kepada kelaparan dan kehausan ketika dihari kiamat.
Ø  Bersedekah kepada orang fakir miskin
Ø  Memuliakan kedua ibu bapa
Ø  Menyambungkan tali persaudaraan.
Ø  Pelihara lidah daripada percakapan tidak berfaedah dan berdosa.’
Ø  Kawal pandangan daripada perkara yang diharamkan kamu menandangnya, kerana pandangan itu mengurangkan pahala berpuasa dan mengundang dosa.
Ø  Jaga pendenganran daripada mendengar perkara yang tidak halal.
Ø  Kasihani anak – anak yatim, orang lain juga akan mengasihani anak – anak kami setelah kamu meninggal dunia.
Ø  Berdoa kepada Allah pada bulan ini kerana ia adalah waktu utama ketika Allah memandang hamba – hamba-Nya dengan penuh kasih sayang.
Ø  Berdoa ketika solat, kerana ketika itu adalah antara masi doa paling mudah diterima Allah.
Ø  Perbuatan salah yang dilakukan menyebabkan diri tergadai, bebaskan ia dengan beristigfar.
Ø  Ringankan beban dosa dengan memanjangkan sujud.
Ø  Siapa yang menjamu orang yang berpuasa, di sisi Allah seperti memerdekakan seorang hamba dan diampunkan dosa – dosa yang lalu.
Ø   Siapa yang berakhlak mulia pada bulan ini, ida akan melalui titian sirat dnegan mudah.
Ø  Barangsiapa yang memudahkan urusan pekerjanya pada bulan ini akan dimudahkan hisab baginya.
Ø   Siapa yang memuliakan anak – anak yatim, Allah akan memuliakan dia pada hari akhirat kelak.
Ø   Siapa yang menyambung tali persaudaraan, Allah akan menyambungkan tali rahmat-Nya pada hari pertemuan-Nya.
Ø  Siapa yang mengerjakan solat sunat pada bulan ini, akan dibebaskan daripada api neraka.
Ø  Siapa yang mengerjakan solat fardu pada bulan ini, ia adalah sama dengan 70 solat fardu pada bulan yang lain.
Ø  Sesiapa yang membanyakkan selawat ke atas baginda, Allah akan memberatkan timbangannya.
Ø   Siapa yang membaca satu ayat al-Quran pada bulan ini, ia adalah sama dengan khatam al-Quran pada bulan yang lain.
Ø  Pintu syurga akan dibuka dan pintu nereka akan ditutup rapat.
Ø  Syaitan akan diikat
Ø   Amalan yang paling utama adalah menjauhi perkara yang diharamkan.

Sabtu, 14 Julai 2012


KEJUJURAN NABI MUHAMMAD DIAKUI OLEH MUSUH – MUSUHNYA
Sejak dahulu sehingga sekarang, musuh – musuh Islam khususnya daripada golongan Yahudi dan Kristian tidak pernah berhenti daripada memburuk – burukkan Islam dan Nabi Muhammad. Namun, sehingga ke hari ini mereka masih belum dapat mengetengahkan sebarang cacatan sejarah yang dapat dijadikan bukti keburukan mahupun kelemahan Nabi Muhammad. Banyak buku yang ditulis dan disebarkan, terutamanya di barat yang memburuk – burukkan Islam dan Nabi Muhammad, tetapi apa yang ditulis itu tidak disertakan dengan bukti – bukti sejarah yang kukuh. Sebaliknya, para sejarawan Islam memiliki banyak catatan sejarah yang sahih mengenai sifat – sifat Nabi Muhammad yang menunjukkan keunggulan baginda.
BUKTI1 : GELARAN AL – AMIN OLEH KAUM QURAISY
Ibn Ishak merekodkan bahawa ketika berlakunya pertelingkahan dalam kalangan kabilah – kabilah Quraisy berkaitan dengan siapakah yang layak untuk meletakkan batu Hajarul Aswad ke tempat asalnya. Oleh hal demikian, hasil daripada persetujuan daripada mereka semua, mereka akan menyerahkan keputusan tersebut kepada orang pertama yang akan memasuki Masjid Haram ketika itu. “Selepas menanti, masuklah seorang lelaki dan rupa – rupanya dia adalah Nabi Muhammad. Mereka pun berkata, inilah dia al – Ameen. Kami reda dengannya.” Hal ini disebutkan di dalam kitab al – Kamil fit Tarikh oleh Ibn Athir.
            Al – Amin membawa erti kepada ‘seorang yang amat dipercayai’. Gelaran ini tidak pernah diberikan kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang betul – betul dipercayai oleh semua orang. Oleh hal demikian, gelaran ini telah diberikan kepada Nabi Muhammad kerana baginda adalah seorang yang amat dipercayai oleh masyarakat Quraisy. Justeru itu, orang Quraisy tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk mengingkari dakwah Nabi Muhammad kerana mereka sendiri yang menyaksikan kejujuran baginda.
BUKTI 2 : NABI MUHAMMAD BUKAN SEORANG PENDUSTA
Imam Baihaqi merekodkan daripada Mughirah bin Syu’bah, katanya, “Pertama kali aku mengenali Nabi Muhammad adalah pada hari aku sedang berjalan – jalan dengan Abu Jahal di Mekah. Tiba – tiba kami bertemu dengan Nabi Muhammad. Beliau terus berkata kepada Abu Jahal : “Wahai Abil Hakam, marilah kepada Allah dan rasul – Nya. Aku ingin menyerumu kepada Allah”. Berkata Abu Jahal : “Wahai Muhammad, bilakah kamu hendak berhenti daripada mencaci tuhan – tuhan kami ? Sekiranya kamu mahu, kamu sanggup mempersaksikan yang kamu menyampaikan risalahmu dan kami sanggup menjadi saksi mengenai perkara itu. Demi Allah, sekiranya aku mengetahui apa yang kamu sampaikan itu adalah benar, nescaya aku mengikutimu”. Lalu Nabi Muhammad pun beredar.
            Abu Jahal terus berpaling kepadaku dan berkata : “Demi Allah, aku mengetahui apa yang dikatakan oleh Muhammad adalah benar tetapi ada beberapa perkara yang menyebabkan aku enggan mengikutinya. Sebabnya adalah bani Qusai berkata, ‘ Kami bertanggungjawab pada kain tirai Kaabah’ dan kami berkata kepada mereka, ‘Benar’. Mereka berkata, ‘ Kami bertanggungjawab pada urusan minuman jemaah haji’ dan kami berkata, ‘Kamu benar’. Kemudian mereka berkata, ‘Daripada kalangan kami pimpinan nadwah’ dan kami menjawab, ‘Kamu benar’. Mereka kemudiannya berkata, ‘Kami pemegang panji – panji’ dan kami berkata, ‘Kami benar’. Akhirnya mereka berkata, ‘Daripada kalangan kami nabi diutus’. Berkata Abu Jahal, demi Allah, perkara inilah yang aku tidak dapat terima”. (Rujukan : Ar – Rasul, Said Hawa, Darul Kutub Al – Alamiyah, Beirut, 1979, jil. 1, halaman 22. Hadis diriwayatkan juga oleh Abi Syaibah)
            Abu Jahal adalah seorang tokoh Quraisy yang begitu lama bergaul dengan Nabi Muhammad. Beliau mengakui bahawa Nabi Muhammad bukan seorang pendusta nabim disebabkan sikap finatik perkauman dan kabilah, menyebabkan dia menolak risalah dan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Penolakkannya disebabkan bani Qusai mengatakan bahawa nabi yang diutus adalah daripada kabilah mereka dan bukan daripada kabilah Abu Jahal.
            Imam Tarmizi merekodkan bahawa Abu Jahal pernah berkata kepada Nabi Muhammad, “Kami tidak mendustakan kamu tetapi kami mendustakan apa yang kamu bawa”. Kerana insiden inilah Allah telah menurunkan wahyu di dalam surah al – An’am ayat yang ke 33 yang bermaksud, “Sesungguhnya mereka tidak mendustakanmu tetapi golongan yang zalim itu mengingkari ayat – ayat Allah”.
            Cara Abu Jahal berfikir adalah dalam konteks ini adalah cara fikir yang rasional. Beliau menolak risalah yang dibawa Nabi Muhammad tetapi pada masa yang sama, beliau mengakui bahawa Nabi Muhammad tidak pernah berdusta.
BUKTI 3 : NABI MUHAMMAD BUKAN SEORANG AHLI SIHIR
Imam Thabrani dan Ibn Asakir merekodkan daripada Muawiyah bahawa Muawiyah, pada suatu hari dia bersama – sama dengan Abu Sufyan dan Hindun bermusafir menuju ke sebuah kawasan pergunungan dengan mengenderai keldai. Muawiyah berkata, “Tiba – tiba kami terdengan suara Nabi Muhammad”. Maka berkatalah Abu Sufyan kepadaku, “Turunlah wahai Muawiyah supaya Muhammad dapat mengenderai keldaimu”. Aku pun turun dan keldaiku terus dikenderai oleh Nabi Muhammad. Baginda kemudianya berpaling kepada kami dan berkata, “Wahai Abu Sufyan Ibn Harb, wahai Hindun bt Utbah. Demi Allah kamu pasti mati dan kemudian pasti dibangkitkan dan pasti akan memasuki sama ada nikmat keenakan syurga ataupun seksa neraka. Aku hendak menyerumu kepada kebenaran. Kemudian baginda membaca ayat 1 – 11 surah al – Fussilat. Berkatalah Abu Sufyan, “Apakah kamu sudah selesai wahai Muhammad?” Bekata Nabi Muhammad, “Ya”. Bagindapun turun daripada keldai dan aku pun mengenderai keldai itu semula. Hindun lantas berpaling kepada Abu Sufyan dan berkata, “Apakah kerana ahli sihir ini kamu menyuruh anakku turun daripada keldai?” Berkata Abu Sufyan, “Demi Allah, dia bukan ahli sihir juga bukan pendusta!”
            Seorang musuh pasti akan mengutuk musuhnya, apatahlah jika dibelakangnya. Namun dalam peristiwa di atas Abu Sufyan berbuat sebaliknya, iaitu dengan mengatakan bahawa Nabi Muhammad bukan ahli sihir dan bukan juga seorang pendusta, malah dia telah memarahi isterinya sendiri kerana mengatakan Nabi Muhammad seorang ahli sihir. Hal ini demikian, Abu Sufyan telah mengenali Nabi Muhammad sebagai seorang yang tidak pernah berdusta dalam hidup baginda.
BUKTI 4 : PENYAKSIAN ABU SUFYAN DAN RUMUSAN HERACLIUS
Imam Bukhari dan Muslim merekodkan daripada Abdullah ibn ‘Abbas dialog yang berlaku antara Abu Sufyan dengn maharaja Rom yang bernama Heraclius. Heraclius bertanya, “Adakah kamu mendapati Muhammad seorang pendusta sebelum beliau berkata apa yang dikatakan sekarang?” Berkata Abu Sufyan, “Tidak!” Seterusnya, dihujung dialog itu Heraclius merumuskan, “Aku bertanya padamu sama ada dia adalah pendusta sebelum seruannya sekarang dan kamu berkata tidak. Sekiranya demikian, aku berpendapat, sekiranya beliau tidak sanggup berdusta kepada manusia, tidak mungkin beliau sanggup berdusta kepada Allah”.
            Daripada dialog diatas dapatlah kita lihat bahawa musuh Nabi Muhammad tidak dapat menemui sebarang cacat cela perihal peribadi baginda sebelum beliau diutus sebagai rasul.

Rabu, 11 Julai 2012

KELEBIHAN YANG KU NANTI - NANTIKAN


Bulan mulia, bulan yang penuh dengan keberkatan adalah suatu bulan yang amat dinanti - nantikan akan tiba. Justeru marilah kita bersama - sama berusaha untuk meningkatkan amalan kita pada bulan tersebut. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang rugi, kerana jika kita tidak menggunakan segala peluang yang ada dalam bulan ramadhan, kita akan menjadi rugi. Bulan ini adalah bulan yang digandakan pahala buat kita semua, dan ia adalah suatu rahmat dan hadiah buat kita semua sebagai seorang hamba - Nya.

1. Bulan yang diturunkan padanya Al-Quran :
 Allah berfirman :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْه ﴾ ﴿
 Maksudnya : ” Bulan ramadhan, bulan yang diturunkan padanya (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara haq dan batil), barang siapa antara kamu yang hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu..” [Al-Baqarah : 185]
 2. Bulan yang padanya ada Lailatul Qadr :
 Allah berfirman : 
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴾ ﴿ 
Maksudnya : ” Sesungguhnya, kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada lailatul qadr. Dan tahukah kamu apakah lailatul qadr itu? Lailatul Qadr itu adalah lebih baik dari seribu bulan ” [Al-Qadr : 1-3]
 3. Bulan yang padanya dibelenggu syaitan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka
 Nabi r bersabda :
 [ إذا جاء رمضان ؛ فتحت أبواب الجنة، وغلقت أبواب النيران، وصفدت الشياطين ]
 Maksudnya : ” Apabila tiba ramadhan; telah dibuka pintu-pintu syurga, telah ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan ” [HR Al-Bukhari : 3277, Muslim : 1079]
 4. Puasa di Ramadhan menjanjikan pengampunan dosa :
 Nabi s.a.w. bersabda :
[ من صام رمضان إيمانا و احتسابا، غفر له ما تقدم من ذنبه ]
Maksudnya : ” Barang sesiapa yang yang berpuasa ramadhan kerana didorong oleh iman dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu ” [HR Al-Bukhari : 38, Muslim : 175]
 5. Puasa di Ramadhan menjanjikan syurga :
 Nabi s.a.w. bersabda :
 [ من آمن بالله وبرسوله وأقام الصلاة وصام رمضان كان حقا على الله أن يدخله الجنة ]
 Maksudnya : ” Barang siapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, dan berpuasa di bulan ramadhan, maka telah layak baginya untuk dimasukkan oleh Allah ke dalam syuga “ [HR Al-Bukhari : 2637]
6. Dibukakan pintu – pintu langit
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
7.  Pintu-pintu syurga dibuka
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Pada malam pertama bulan Ramadhan diikatlah semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya. Dan dibukakanlah pintu-pintu syurga dan tidaklah ditutup satu pun darinya. Maka berserulah penyeru; Wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai orang yang melakukankejahatan undurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan sedemikian itu berlaku pada setiap malam Ramadhan.”
(Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)