Khamis, 5 Januari 2012

PERLUKAH NAMA PADA KAD PENGENALAN DITUKAR?

Berkaitan dengan isu penukaran kad pengenalan bagi seseorang yang baru memeluk Islam, ia merupakan salah satu masalah yang sering menjadi tanda tanya buat mereka yang baru memeluk agama Islam. Bahkan ada yang tidak mahu mengambil agama Islam sebagai pegangan kerana sekiranya memeluk Islam perlu menukar nama. Dalam agama Islam nama merupakan salah satu perkara yang cukup penting kerana panggilan buat seseorang itu adalah satu doa dan itulah nama yang akan digunakan di akhirat kelak. Bagi  mereka yang ingin memeluk Islam, anda semua tidak perlu risau akan penukaran nama anda, kerana jika ia dianggap menyusahkan, maka tidak perlu menukarnya. Cukuplah bagi anda untuk mendaftarkan diri dengan Pejabat Agama. Butiran-butiran pada kad pengenalan boleh diuruskan selepas perkara itu diuruskan.

  Jika ‘surname’ atau nama keturunan yang menjadi masalah bagi anda, maka tidak perlu bagi anda untuk menukarkannya. Malah nama anda yang asal tidak perlu diubah langsung jika anda tidak mahu mengubahnya, sekiranya nama tersebut tidak ada kontasi atau penyerupaan nama-nama tuhan, dewa-dewa dan sebagainya. Sebagai contoh, nama Tee Kuan Yin, Tee Kuan perlu ditukar kerana ia merujuk kepada nama dewa. Tetepi bagi nama seperti Tee Chuan Seng, tidak perlu ditukar kerana nama tersebut mempunyai makna ‘serba boleh’. Namun, sebaik-baiknya buat anda adalah dengan menukar atau menambah dengan nama-nama Arab yang mempunyai maksud yang baik. Misalnya, Muhammad Ridhuan Tee atau Muhamad Ridhuan Tee Chuan Seng.

  Kadang kala saya juga ada terfikir mengenai sikap segelintir dengan orang Islam, kerana terlalu alergi sangat dengan nama-nama Islam, padahalnya nama-nama Islam ini mempunyai maksud yang baik-baik. Sedangkan pula nama-nama Kristian, tidak pula bersifat sedemikian. Berapa ramai orang bukan Islam yang meletakkan nama-nama seperti Simon, michelle, Richard, Kelly, Burn, William dan sebagainya. Mungkin bagi anda nama-nama Islam tidak mempunyai taraf yang tinggi dan tidak popular seperti nama-nama Kristian.
  Semua ini mungkin berlaku kerana kita telah gagal dan kalah dalam Perang Dunia Pertama. Kehebatan dan kegagahan Islam tidak dapat dilihat lagi selepas tahun 1920-an ke atas, sehingga kini. Negara Islam dan umat Islam terus ditimpa dengan pelbagai masalah. Kita hanya berbangga dengan masa lalu sahaja, berbanding dengan kini. Sedangkan kebanggaan masa ini amat penting untuk dilihat oleh generasi pada masa akan datang. Barulah orang lain akan terpegun dan kagum dengan apa yeng telah kita capai.

  Wahai rakan-rakan seangkatan sekalian marilah kita mengorak langkah untuk mengambilan zaman kegemilangan Islam sebagai mana zaman kegemilangan yang telah dicapai pada suatu masa dahulu. Janganlah kita hanya berbangga dengan apa yang telah kita capai pada suatu masa dahulu, tetapi ambillah ia sebagai kunci buat kita untuk terus memajukan Islam terutamanya pada masa sekarang yang penuh dengan gejala-gejala yang tidak bermoral. Bagaimana orang yang bukan Islam ingin memeluk Islam jika kita tidak menunjukkan apa yang sebenarnya dibawa oleh agama Islam. Namun bagaimanakah caranya? Jawapannya cukup mudah lakukanlah amar makruf dan nahi mungkar. Jangnlah hanya melakukan amar makruf sahaja bahkan nahi mungkar juga turut perlu dilaksanakan.

  Dalam buku “staying up, up, up, ini a down, down, down world” dan “raising positive kids, in a negative world” karangan Zig Ziglar, beliau ada mengatakan bahawa kita jangan harapkan keadaan sosial manusia akan menjadi lebih baik pada masa hadapan. Mereka akan kembali kepada zaman jahiliah. Apa yang paling penting, persediaan kita untuk menghadapi perkara negative tersebut. Sudah pasti cara untuk menghadapi masalah tersebut dengan kembali kepada agama. Dalam konteks ini, kita sebagai umat Islam mesti melaksanakan segala suruhan agama, walaupun kita tidak menyukainya, kerana apa yang disuruh dalam agama adalah demi kebaikan kita semua. Ingatlah bahawa kita datang daripada Allah dan kepada Dia jua juga tempat kita kembali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan