Ahad, 22 Mei 2011

SOLAT


Diriwayatkan daripada Hazrat ‘Abdullah bin Umar r.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“ Sesungguhnya solah berjemaah dua puluh tujuh kali ganda lebih afdal daripada solah bersendirian.”
(Hadith riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim)
Keterangan:
Apabila seseorang itu mendirikan solat dengan niat untuk memperolehi pahala maka cara yang mudah ialah jangan bersolat di rumah, tetapi pergilah bersolah di masjid dengan berjemaah. Amalan ini tidaklah begitu susah malah akan memperoleh ganjaran yang begitu banyak. Siapakah yang akan melepaskan peluang memperoleh 27 ringgit atau 28 ringgit dan berpuas hati dengan hanya 1 ringgit. Sebaliknya kita langsung tidak memberi perhatian untuk mendapatkan keuntungan yang sebegitu besar dalam amalan agama. Tidak lain dan tidak bukan sebabnya ialah kita sudah tidak lagi menghiraukan agama. Bahkan keuntungan agama tidak lagi dipandang sebagai satu keuntungan. Sedangkan kita sanggup bertungkus lumus sepanjang hari untuk mendapat keuntungan dalam perniagaan di dunia ini. Namun, untuk keuntungan akhirat yang mendatangkan 27 kali ganda manfaat menjadi satu bebanan pula solah berjemaah kepada kita.
Ada di kalangan kita pula menganggap bahawa pergi ke masjid mendatangkan kerugian pada perniagaan dan jualan akan terjejas serta susah pula untuk menutup serta membuka kedai. Bagi mereka yang mempunyai kebesaran Allah Taala dalam hati mereka serta yakin dan berpuas hati dengan janji-janjiNya maka ganjaran dan pahala daripada Allah Taala adalah suatu perkara yang paling bernilai baginya. Mereka tidak memandang sedikit pun kepada alasan-alasan di atas. Dihadapan Allah mereka termasuk dalam kalangan yang orang-orang yang tidak lalai. Seperti fiman Allah SWT dalam surang an-Nur : 37 yang bermaksud:
“ Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual beli daripada menyebut serta mengingati Allah Taala dan mendirikan solah....”    
   (an-Nur :37)

Tentang amalan para sahabat dalam perniagaan selepas azan dilaungkan, diceritakan secara ringkasnya dlm bab kelima dlm kitab Kisah Para Sahabat.:
Seorang wali Allah, Hazrat Salim Haddad rah. Apabila mendengar azan, wajahnya berubah menjadi pucat, keadaannya mulai gelisah. Beliau bangun meninggalkan kedainya dlm keadaan terbuka sambil membaca syair ini:
iaitu:

Apabila muazzinMu mula mengumandangkan azan. Segera aku bangun menyahut seruan Allah Taala Yang Maha Besar, tiada yang lain sepertiNya.......
Aku menyahut apabila diseru dengan penuh taat. Dengan riang aku menyahut, aku hadir wahai Yang Maha Mulia.
Wajahku menjadi pucat kerana takut dan gerun. Untuk bersamaNya aku mengalihkan daripada segala-galanya yang lain.
Demi kerana Mu, aku bersumpah bahawa tiada yang lebih lazat daripada menyebut namaMu. Dan mulutku ini tidak pernah merasa manis jika menyebut selainMu.
Bilakah masanya yang akan menemukan aku dengan Mu? Seseorang kekasih hanya bergembira apabila berada bersama dengan yang dikasihinya.
Dia yang matanya telah melihat nur kecantikanMu, tidak akan dapat dihiburkan, dia pasti mati kerana merindukanMu.

Telah dinyatakan dalam sebuah hadith bahawa, “ Mereka yang sentiasa berkumpul di masjid adalah tonggak masjid dan malaikat adalah rakan mereka yang akan mengunjungi mereka ketika sakit dan membantu mereka dalam segala urusan.



Jumaat, 20 Mei 2011

BERKAT ANAK SOLEHAH


Ada sepasang suami isteri yang tinggal di Kota Madinah. Isterinya seorang yang solehah yang sangat taat kepada Allah S.W.T dan suaminya. Suaminya pula adalah seorang peniaga yang selalu keluar jauh membawa barang-barang dagangan. Berminggu-minggu baru ia pulang ke rumah.
Pada suatu hari, suaminya keluar lagi untuk berniaga. Dia berpesan kepada isterinya supaya menjaga diri dengan baik, jangan keluar rumah sehinggalah dia pulang. Segala keperluan harian disediakannya dengan secukupnya.
Isterinya yang taat ini sentiasa meredhai pemergian suaminya untuk berniaga. Dia sentiasa mendoakan agar suaminya selamat dalam segala urusan.Rumah saudagar itu dua tingkat. Dia dan isterinya tinggal di tingkat atas. Manakala bapa mertuanya di tingkat bawah. Beberapa hari kemudian bapa mertuanya jatuh sakit. Isteri saudagar itu ingin sangat melihat bapanya setelah diberitahu oleh jirannya tetapi dia teringat pesanan suaminya supaya tidak keluar dari rumahnya itu semasa dia tiada di rumah.
Isteri saudagar itu sangat sedih apabila diberitahu oleh jirannya, bahawa sakit bapanya bertambah teruk. Dia meminta izin dari Rasulullah s.a.w untuk melihat bapanya itu. Rasulullah s.a.w berkata, "Taatilah pada suamimu." Hatinya tidak tertahan hendak melihat bapanya yang sedang sakit. Tetapi kerana mengingatkan pesanan suaminya, maka dia bersabar demi mendapatkan keredhaaan Allah S.W.T dan suaminya.
Keesokan harinya datang lagi jirannya memberitahu bahawa bapanya sudah kembali menghadap llahi. Isteri saudagar itu hanya mampu mengucapkan "Innalillahi wainnailai       hirajiun". Sekali lagi ia meminta izin Rasulullah s.a.w untuk melihat bapanya untuk kali yang terakhir, tetapi jawapan yang diterima daripada Rasulullah s.a.w iaitu, "Taatilah pada suamimu." Maka tinggallah ia di rumahnya sambil berdoa supaya roh bapanya itu ditempatkan di kalangan orang yang beriman.
Air mata si isteri mengalir tanpa dapat ditahan-tahan. Dia sangat sedih kerana tidak sempat menziarahi dan melihat wajah bapanya buat kali yang terakhir.
Namun begitu kerana takutkan seksa Allah S.W.T dia tetap taat kepada suaminya. Isteri saudagar itu hanya dapat melihat dari tingkap rumahnya jenazah bapanya diusung ke tanah perkuburan untuk disemadikan.
Pada keesokkan harinya, dia diberitahu oleh Rasulultah s.a.w bahawa bapanya bahagia di dalam kubur berkat kesabaran dan ketaatan anaknya pada suaminya. Isteri saudagar itu merasa sungguh gembira dengan berita yang diterima daripada Rasulullah s.a.w itu.

Rabu, 18 Mei 2011

POHON APEL


Pada zaman dahulu, terdapat sebatang pohon apel yang amat besar. Seorang anak-anak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pohon apel ini setiap hari. Dia memanjat pohon tersebut, memetik serta memakan apel sepuas hatinya, dan ada kalanya dia beristirahat lalu terlelap di perdu pohon apel tersebut. Anak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pohon apel itu juga menyukai anak tersebut.

Masa berlalu… anak lelaki itu sudah besar dan menjadi remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pohon apel tersebut. Suatu hari dia datang kepada pohon apel tersebut dengan wajah yang sedih. “Marilah bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pohon apel itu.” Aku bukan lagi anak-anak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau,” jawab remaja itu.” Aku mahu mainan dan aku memerlukan wang untuk membelinya,” tambah remaja itu dengan nada yang sedih. Lalu pohon apel itu berkata, “Kalau begitu, petiklah apel-apel yang ada padaku, kemudian jual untuk mendapatkan wang. Dengan begitu, kau dapat membeli mainan yang kau inginkan.”

Remaja itu dengan gembiranya memetik semua apel di pohon itu dan pergi. Dia tidak kembali lagi setelah kejadian tersebut. Pohon apel itu berasa sedih.

Masa berlalu…Suatu hari, remaja itu kembali semula. Dia semakin dewasa. Pohon apel itu merasa gembira.”Marilah bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pohon apel itu.”Aku tidak ada waktu untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah engkau menolongku?” Tanya anak itu. “Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah.” Pohon apel itu memberikan cadangan. Lalu, remaja yang semakin dewasa itu memotong semua dahan pohon apel itu dan pergi dengan gembiranya. Pohon apel itu pun turut gembira tetapi kemudian ia merasa sedih kerana remaja itu tidak kembali lagi.

Pada suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pohon apel itu. Dia sebenarnya adalah anak lelaki yang pernah bermain-main dengan pohon apel itu. Dia telah matang dan dewasa.”Marilah bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pohon apel itu.” Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi anak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk berlayar. Malangnya, aku tidak mempunyai kapal. Bolehkah kau menolongku?” tanya lelaki itu. “Aku tidak mempunyai kapal untuk diberikan kepada engkau. Tetapi kau boleh memotong batang pohon ini untuk dijadikan kapal. Kau akan dapat berlayar dengan gembira,” kata pohon apel itu. Lelaki itu berasa sangat gembira dan menebang batang pohon apel itu. Dia kemudian pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi setelah itu. Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin tua, datang menuju pohon apel itu. Dia adalah anak lelaki yang pernah bermain di sekitar pohon apel itu.”Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi untuk diberikan kepada engkau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat kapal. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati…” kata pohon apel itu dengan nada yang pilu.”Aku tidak mahu apelmu kerana aku sudah tidak bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pohonmu kerana aku tidak berupaya untuk berlayar lagi, aku merasa lelah dan ingin istirahat,” jawab lelaki tua itu.”

Jika begitu, istirahatlah di perduku,” kata pohon apel itu. Lalu lelaki tua itu duduk beristirahat di perdu pohon apel itu dan beristirahat. Mereka berdua menangis kegembiraan.

Sebenarnya, pohon apel yang dimaksudkan dalam cerita itu adalah kedua Ibu Bapa kita. Bila kita masih muda, kita suka bermain dengan mereka. Ketika kita meningkat remaja, kita memerlukan bantuan mereka untuk meneruskan hidup. Kita tinggalkan mereka, dan hanya kembali meminta pertolongan apabila kita dalam kesusahan. Namun begitu, mereka tetap menolong kita dan melakukan apa saja asalkan kita bahagia dan gembira dalam hidup. Kita mungkin berfikir bahawa anak lelaki itu bersikap kejam terhadap pohon apel itu, tetapi itulah hakikatnya bagaimana kebanyakan anak-anak masa kini melayani Ibu Bapa mereka. Hargailah jasa Ibu Bapa kita. Begitu besar jasa kedua orang tua kita dan kita tidak mungkin dapat membalasnya, kerana tanpa mereka kita tidak mungkin manjadi seperti sekarang ini.

ingatlah wahai sahabat-sahabatku bahawa syurga itu terletak dibawah tapak kaki ibu, manakala ayah itu adalah kunci kepada pintu syurga, maka berbuat baiklah kepada mereka seperti mana mereka melakukannya sebelum kita lahir, semasa kita dilahirkan dan selepas kita lahir. mereka menjaga kita dengan penuh kasih sayang. sanggup ibu berjaga malam hanya untuk menjaga kita. sanggup ayah bekerja keras hanya untuk menyara kehidupan kita sekeluarga. adakah sanggup para sahabat melakukan perkara yang sedemikian rupa terhadap kedua ibu bapa kita??? apabila susah bersama mereka, apabila senang tinggalkan mereka. apabila mereka tua hantar mereka ke rumah orang tua. 

saya berharap para sahabat sekalian fikirkanlah... adakah sama banyak kita menelefon mereka berbanding dengan menelefon kekasih kita? berapa banyak kita ucapkan sayang dan datang menjeguk mereka di rumah berbanding dengan kekasih kita? berapa banyak kita mengembirakan mereka berbanding kita mengembirakan kekasih kita? fikir fikirkanlah....

 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24). 

FirmanNya lagi yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedangkan tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah al-Ahqaf ayat 15).

Isnin, 16 Mei 2011

CINTA SEJATI SEORANG IBU TERHADAP ANAK-ANAKNYA




Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :

"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."

Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dan dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.

Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuan tentera Islam.

Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturuna kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah s.w.t. kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."

Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung." Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.

Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dariAllah s.w.t.. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."

Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah s.w.t. iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah s.w.t. memberikan mereka kemenangan atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik sahaja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah s.w.t..

Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair, "Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa lagi."


Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,

"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur mush-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah." Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair, "Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri. Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri Dapatkan kemenangan yang bakal membawakegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."

Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair, "Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahay, dan musnah mangsa oleh senjataku." Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lainnya. Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil sahaja yang dapat menyelamatkan diri.

Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,

"Segala puji bagi Allah s.w.t., yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengahrapkan darii Tuhanku, agar Diamengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"

Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari peristiwa peperanan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan 'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid."

Sabtu, 7 Mei 2011

Siapakah yang dimaksudkan dengan lelaki soleh


Lelaki soleh dapat di definisikan sebagai seorang lelaki muslim yang beriman (mukmin), bersih dari segi zahir dan batinnya, mengambil makanan yang bersih dan halal (bukan dari sumber yang haram) serta sentiasa berusaha menjauhkan dirinya dari perkara perkara yang akan mendorong ke arah maksiat dan menariknya ke jurang NERAKA yang amat dalam.
Lelaki soleh juga ialah seorang lelaki yang sentiasa taat kepada Allah swt. dan Rasul-Nya walau dimana sahaja mereka berada dan pada bila bila masa sahaja. Kesolehan dan keimanan seseorang tidak dapat dilihat dan diukur dari segi lahiriah semata mata kerana ianya adalah berkait rapat dengan masalah AKIDAH dan KEYAKINAN, kepada siapa dia menyerah keyakinan dan ketaatan dan sebaliknya. TAUHID merupakan dasar tertinggi dalam kehidupan yang harus sentiasa dipelihara kerana apabila tauhid tidak betul dan sempurna, maka seluruh amalan yang dilakukan adalah sia-sia sahaja. Apabila telah jelas kepada siapa kita memberikan perwalian dan terhadap pihak mana kita menolak kepimpinan, barulah Tauhid akan menjadi kenyataan dan berdiri dengan tegaknya dalam jiwa seseorang.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kesolehan seseorang lelaki itu tidak dapat dinilai dari segi lahiriah semata-mata. Ianya adalah lebih jauh dan mendalam dari itu semua. Antara hal-hal yang harus dilihat dan dikaji pada setiap individu muslim ialah perkara-perkara yang bersangkutan dengan keyakinan, tujuan dan pandangan hidup serta cita-cita dan jalan hidup seseorang itu.
KRITERIA-KRITERIA LELAKI SOLEH SEPERTI YANG DIMAKSUDKAN OLEH AL QURAN DAN AL HADIS:
1. Sentiasa taat kepada Allah swt dan Rasullulah saw.
2. Jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hidupnya.
3. Mati syahid adalah cita cita hidup yang tertinggi.
4. Sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran dari Allah swt.
5. Ikhlas dalam beramal.
6. Kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupnya.
7. Sangat takut kepada ujian Allah swt. dan ancamannya.
8. Selalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya.
9. Zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya.
10. Solat malam menjadi kebiasaannya.
11. Tawakal penuh kepada Allah taala dan tidak mengeluh kecuali kepada Allah swt
12. Selalu berinfaq samada dalam keadaan lapang mahupun sempit.
13. Menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah diantara mereka.
14. Sangat kuat amar maaruf dan nahi mungkarnya.
15. Sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan.
16. Pemaaf dan lapang dada dalam menghadapi kebodohan manusia, sentiasa saling membetulkan sesama ikhwan dan tawadhuk penuh kepada Allah swt.
17. Berkasih sayang dan penuh pengertian kepada keluarga.
Selain daripada ciri-ciri diatas, orang orang yang soleh juga merupakan insan insan yang senantiasa mendapat ujian dan cubaan daripada Allah swt. setelah para nabi nabi dan orang orang yang mulia. Mereka menghadapi segala ujian tersebut dengan hati yang tabah dan tetap teguh dalam keimanan serta pendirian. Mereka tidak mudah menyerah kalah dari keganasan dan tekanan musuh.
Tugas-tugas dan kewajipan lelaki soleh:
1. Mencari nafkah (belanja hidup)
2. Berjihad Fisabilillah.
3. Melindungi dan membela kaum yang lemah dan tertindas.
4. Memimpin, mendidik dan berlaku adil terhadap isteri.

Isnin, 2 Mei 2011

10 Lelaki Idaman Wanita

Berdiri di hadapan cermin, lihat diri anda. Adakah anda setampan Shah Rukh Khan? Adakah otot-otot anda segagah Arnold Schwarzenegger?
Dengan ketinggian yang anda ada, mampukah anda memikat model secantik Nasha Aziz? Adakah gaji anda cukup lumayan bagi menakluki hati gadis-gadis jelita untuk dijadikan isteri?
Sambil berdiri di hadapan cermin, tanyakan soalan ini, “Adakah aku memiliki ciri-ciri lelaki yang diidamkan wanita? “Kalau masih belum pasti, di bawah ini adalah 10 lelaki yang paling dikehendaki oleh kaum Hawa iaitu….
  1. Yang bercita-cita besar untuk menolong orang lain yang memerlukan, bukannya hidup dilamun angan-angan dan perlu ditolong.
  2. Yang tidak malu berkata; “Saya minta maaf, sayalah yang bersalah.”
  3. Yang dapat melihat pelbagai pengaruh buruk cuba merosakkan hidupnya tapi tanpa ragu-ragu berkata ” TIDAK"
  4. Yang meletakkan urusan Tuhan melebihi segala-galanya.
  5. Yang membuat sesuatu, misalnya melaksanakan impiannya, dengan bersungguh-sungguh dan apabila berjaya, dia menghadiahkan setinggi-tinggi perhargaan kepada orang-orang yang membantunya.
  6.   Yang sentiasa tersenyum, merendah diri dan mesra dengan sesiapa sahaja tanpa mengira darjat dan kedudukan.
  7. Yang melihat kesilapan diri sendiri sebelum melihat kesilapan orang lain.
  8. Yang sedia mencurahkan wang, masa dan kebolehannya kepada orang lain tanpa memikirkan balasan.
  9.   Yang sentiasa berusaha untuk menjadi contoh terbaik kepada anak-anaknya daripada hanya bercakap kosong mengenai hal tersebut.
  10.  Yang membawa anak-anak ke rumah ibadat, bukannya menghantar mereka ke sana.

Adakah ketampanan yang dimiliki, gaji yang besar dan otot-otot yang sasa di badan anda relevan dengan ciri-ciri di atas?

SUNGGUH BERUNTUNG KAUM WANITA...

  1. Do’a wanita lebih makbul daripada lelaki karana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, jawab baginda : Ibu lebih penyayang daripada Bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-siakan.
  2. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1000 lelaki yang soleh.
  3. Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya adalah seperti orang yang sentiasa menangis kerana takut kepada Allah SWT dan orang yang takut Allah SWT akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya
  4. Barang siapa yang membawa hadiah (barang, makanan dari pasar kerumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya adalah seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barang siapa yang menyukai akan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail A.S
  5. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya, akan tinggal bersama aku (Rasulullah SAW) di dalam surga.
  6. Barang siapa yang mempunyai tiga anak perempuan atau tiga Saudara perempuan atau dua Saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggung jawab, maka baginya adalah surga.
  7. Dari Aisyah r.a. “Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada  anak-anak perempuannya lalu dia berbuat baik kepada mereka , maka mereka akan menjadi penghalang baginya api neraka.
  8. Surga itu di bawah telapak kaki ibu.
  9. Apabila memanggilmu dua orang ibu bapamu maka jawablah panggilan ibumu dahulu.
  10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu surga. Masuklah daripada mana-manapun pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.
  11. Wanita yang taat pada suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristigfar baginya selama dia taat kepada suaminya dan rakannya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).
  12. Aisyah r.a. berkata, aku bertanya pada Rasulullah SAW, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab baginda “suaminya”. Siapa pula berhak terhadap lelaki?” jawab Rasulullah SAW “Ibunya”
  13. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat pada suaminya, masuklah dia daripada  pintu surga mana saja yang dia kehendaki
  14. Setiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah SWT memasukkan dia ke dalam surga lebih dahulu daripada suaminya ( 10.000 tahun )
  15. Apabila seorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristigfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT mencatatkan baginya setiap hari dengan 1000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1000 kejahatan.
  16. Apabila seorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah SWT
  17. Apabila seorang perempuan melahirkan anak, keluarlah ia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkan
  18. Apabila telah lahir ( anak ) lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan dari susunya diberi satu kebajikan
  19. Apabila semalaman ( ibu ) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah SWT memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah SWT