Khamis, 13 November 2014

SENYUMAN SEORANG SAHABAT




Keluarga bahagia dan bertakwa boleh menyumbang kepada pembinan institusi masyarakat  yang bersatu padu, berwibawa, sejahtera dan bertakwa. Ruang lingkup sosial individu yang membentuk keluarga, tidak hanya terbatas kepada hubungan sesama ahli keluarga sahaja, bahkan meliputi hubungan dengan masyarakat di sekeliling.
            Jalinan persahabatan erat sesama ahli masyarakat, kemesraan jiran tetangga yang saling hormat menghormati, urusan muamalat yang sihat terpautnya hati anggota masyarakat untuk memakmurkan masjid, berjihad dan berbuat kebajikan, amalan ziarah-menziarahi saudara dan taulan adalah sebahagian daripada corak dalam masyarakat yang diutamakan, selaras dengan tuntutan syariat Islam.
Dalam pemilihan sahabat telah diberikan banyak panduan dalam syrak, iaitu firman Allah yang bermaksud :
“Dan janganlah engkau menurut orang yang telah Kami lalaikan hatinya daripada mengingati Kami, lalu ia mengikuti hawa nafsunya”
(Surah al-Kahfi : 28)
“Dan ikutilah jalan orang yang suka kembali (bertaubat) kepada-Ku”
(Surah Luqman : 15)
Dalam riwayat para sahabat pula, Nabi saw telah bersabda yang bermaksud :
“Seseorang itu atas agama (perjalanan)rakannya, maka hendaklah diperhatikan siapa yang harus dipilih sebagai rakan”
            Al-Qamah, seorang ulama masyhur pada zaman dahulu telah memberi panduan kepada anaknya dalam memilih sahabat, antaranya :
1.    Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan membantu mengusahakan pertolongan itu sedaya upayanya.
2.    Jika dia mendapat sesuatu kebajikan daripadamu, dia akan menghargainya.
3.    Jika engkau membuat bakti kepadanya pasti dia akan melindungimu.
4.    Jika engkau berdua berselisih faham, dia akan mengalah untuk menjaga ikatan persahabatan itu.
Saidina Ali pernah berkata, “Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sisimu (ketika susah dan senang). Dia sanggup membahayakan dirinya demi kebaikanmu, sanggup berkorbang apa sahaja untuk kepentinganmu.”
Abu Sulaiman al-Darani r.a. mengingatkan kita agar melihat dua sifat ini pada seseorang sebelum memilihnya sebagai rakan :
1.    Orang yang mudah engkau berurusan dalam kehidupan seharian.
2.    Orang yang dapat memberikan faedah dan manfaat dalam segala perkara.
Sememangnya Allah telah menegaskan bahawa pentingnya menjalinkan hubungan persahabatan dengan orang-orang yang beriman, bertakwa dan berakhlak mulia yang dapat bersama-sama menegakkan kalimah Allah dimuka bumi ini, menyuruh manusia kepada perkara-perkara kebaikan dan melarang mereka daripada melakukan kemungkaran. Firman Allah yang bermaksud :
“Berpegang teguhlah dengan tali (agama) Allah bersama-sama dan janganlah pula berpecah belah”
(Surah Ali Imran  : 103)
Hubungan antara individu dengan individu dapat dilaksanakan beberapa perkara berikut dapat menjadi ukhuwah yang terjalin :
1.    Mengucapkan salam ketika bertemu
2.    Menjenguk mereka ketika sakit/ mati
3.    Mendoakan ketika bersin
4.    Menolong ketika kesempitan
5.    Memenuhi undangan selagi tiada maksiat
6.    Memberikan bantuan dalam usaha jihat dan kebajikan
Jika dilihat salah satu sudut, terdapat satu rahsia yang boleh mengeratkan perpaduan, ikatan persefahaman dan kasih mengasihi semasa insan, iaitu dengan menyebarkan salam. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Daud r.a. yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang lebih dahulu memberi salam kepada orang lain”
Secara kesimpulannya, pemilihan sahabat yang baik dapat membantu kita untuk menjadi baik. Dalam etika bersahabat juga, kita perlulah menjaga batas –batas pergaulan dan berusaha untuk mengekalkan hubungan silaturrahim antara sesama insan. Andai kita berkawan dengan seorang penjual minyak wangi, kita akan turut berbau wangi. 
Senyum,
Bagi sesetengah hati,
Mungkin suatu yang biasa,
Tetapi siapa yang tahu akannya,
Pabila diukir,
laksana cahaya yang menerangi malam;

Senyum,
Senyum itu suatu sedekah,
Senyum itu suatu nikmat,
Senyum itu suatu kebahagiaan,
Senyum itu suatu kegembiraan,
Senyum itu suatu penawar,
Yang pasti ada hikmahnya;

Senyumlah wahai rakanku,
Ukirlah ia sepanjang waktu,
Kerana itu tandanya hati,
Yang mungkin tiada ganti.