Khamis, 13 November 2014

SENYUMAN SEORANG SAHABAT




Keluarga bahagia dan bertakwa boleh menyumbang kepada pembinan institusi masyarakat  yang bersatu padu, berwibawa, sejahtera dan bertakwa. Ruang lingkup sosial individu yang membentuk keluarga, tidak hanya terbatas kepada hubungan sesama ahli keluarga sahaja, bahkan meliputi hubungan dengan masyarakat di sekeliling.
            Jalinan persahabatan erat sesama ahli masyarakat, kemesraan jiran tetangga yang saling hormat menghormati, urusan muamalat yang sihat terpautnya hati anggota masyarakat untuk memakmurkan masjid, berjihad dan berbuat kebajikan, amalan ziarah-menziarahi saudara dan taulan adalah sebahagian daripada corak dalam masyarakat yang diutamakan, selaras dengan tuntutan syariat Islam.
Dalam pemilihan sahabat telah diberikan banyak panduan dalam syrak, iaitu firman Allah yang bermaksud :
“Dan janganlah engkau menurut orang yang telah Kami lalaikan hatinya daripada mengingati Kami, lalu ia mengikuti hawa nafsunya”
(Surah al-Kahfi : 28)
“Dan ikutilah jalan orang yang suka kembali (bertaubat) kepada-Ku”
(Surah Luqman : 15)
Dalam riwayat para sahabat pula, Nabi saw telah bersabda yang bermaksud :
“Seseorang itu atas agama (perjalanan)rakannya, maka hendaklah diperhatikan siapa yang harus dipilih sebagai rakan”
            Al-Qamah, seorang ulama masyhur pada zaman dahulu telah memberi panduan kepada anaknya dalam memilih sahabat, antaranya :
1.    Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan membantu mengusahakan pertolongan itu sedaya upayanya.
2.    Jika dia mendapat sesuatu kebajikan daripadamu, dia akan menghargainya.
3.    Jika engkau membuat bakti kepadanya pasti dia akan melindungimu.
4.    Jika engkau berdua berselisih faham, dia akan mengalah untuk menjaga ikatan persahabatan itu.
Saidina Ali pernah berkata, “Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sisimu (ketika susah dan senang). Dia sanggup membahayakan dirinya demi kebaikanmu, sanggup berkorbang apa sahaja untuk kepentinganmu.”
Abu Sulaiman al-Darani r.a. mengingatkan kita agar melihat dua sifat ini pada seseorang sebelum memilihnya sebagai rakan :
1.    Orang yang mudah engkau berurusan dalam kehidupan seharian.
2.    Orang yang dapat memberikan faedah dan manfaat dalam segala perkara.
Sememangnya Allah telah menegaskan bahawa pentingnya menjalinkan hubungan persahabatan dengan orang-orang yang beriman, bertakwa dan berakhlak mulia yang dapat bersama-sama menegakkan kalimah Allah dimuka bumi ini, menyuruh manusia kepada perkara-perkara kebaikan dan melarang mereka daripada melakukan kemungkaran. Firman Allah yang bermaksud :
“Berpegang teguhlah dengan tali (agama) Allah bersama-sama dan janganlah pula berpecah belah”
(Surah Ali Imran  : 103)
Hubungan antara individu dengan individu dapat dilaksanakan beberapa perkara berikut dapat menjadi ukhuwah yang terjalin :
1.    Mengucapkan salam ketika bertemu
2.    Menjenguk mereka ketika sakit/ mati
3.    Mendoakan ketika bersin
4.    Menolong ketika kesempitan
5.    Memenuhi undangan selagi tiada maksiat
6.    Memberikan bantuan dalam usaha jihat dan kebajikan
Jika dilihat salah satu sudut, terdapat satu rahsia yang boleh mengeratkan perpaduan, ikatan persefahaman dan kasih mengasihi semasa insan, iaitu dengan menyebarkan salam. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Daud r.a. yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang lebih dahulu memberi salam kepada orang lain”
Secara kesimpulannya, pemilihan sahabat yang baik dapat membantu kita untuk menjadi baik. Dalam etika bersahabat juga, kita perlulah menjaga batas –batas pergaulan dan berusaha untuk mengekalkan hubungan silaturrahim antara sesama insan. Andai kita berkawan dengan seorang penjual minyak wangi, kita akan turut berbau wangi. 
Senyum,
Bagi sesetengah hati,
Mungkin suatu yang biasa,
Tetapi siapa yang tahu akannya,
Pabila diukir,
laksana cahaya yang menerangi malam;

Senyum,
Senyum itu suatu sedekah,
Senyum itu suatu nikmat,
Senyum itu suatu kebahagiaan,
Senyum itu suatu kegembiraan,
Senyum itu suatu penawar,
Yang pasti ada hikmahnya;

Senyumlah wahai rakanku,
Ukirlah ia sepanjang waktu,
Kerana itu tandanya hati,
Yang mungkin tiada ganti.

  

Selasa, 20 Mei 2014

TERIMA KASIH GURU A,B,C



guru...
siapakah engkau ini???
semua sebut huruf A...
semua ikut sebut huruf A...
semua sebut huruf B...
semua ikut sebut huruf B...
begitu juga sampai ke huruf Z...
semua ikut menyebutnya.
tapi apa makna engkau dihadapanku???

setelah bertahun-tahun berlalu
aku telah berjaya mencapai cita-citaku...
aku telah berjaya mencapai cita-citaku...
aku telah menjadi seorang perdana menteri yang terkemuka
aku telah menjadi seorang usahawan yang berjaya
aku telah menjadi seorang peguam yang berprinsip
aku telah menjadi seorang ahli sukan yang hebat
namun apabila bertemu dengan seorang lelaki tua atau perempuan tua
yang pernah mengajar diri mengenal A B C
" cikgu " itulah perkataan yang mula-mula keluar daripada mulut terhadap orang tua tersebut

ayat mula disusun...
"terima kasih cikgu, kerana telah sudi mengajar aku mengenal ABC!"
 orang tua itu terpinga-pinga, lalu berkata
"anak ni siapa? anak ni salah orang ni."
kata diri ni
"saya adalah bekas anak murid cikgu, cikgu dah lupa ke?"
kata orang tua itu
"saya memang tidak kenal anak, maaf"
rupa-rupanya orang tua itu telah nyayuk kerana sudah lanjut usianya

hari ini aku telah mengerti siapakah engkau sebenarnya buat diri aku
engkau ibarat pohon besar ditengah-tengah padang rumput...
akar itu adalah keazamanmu
batang itu adalah matlamatmu
daun itu adalah ilmumu
bunga itu adalah baktimu
buah itu adalah hasilmu

segala jasamu tidak akan ku lupai...
aku berbangga mamiliki guru seperti engkau
panggilan keramat guru tetap dibibirku terhadapmu....
semoga Allah merahmati engkau.

AMALKAN DAN SAMPAIKAN ILMU YANG BERMANFAAT KEPADA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT


 

Sahabat yang dimuliakan, Salah satu daripada bekalan yang akan membantu seorang Muslim ketika dia berada di alam barzakh adalah ilmu yang bermanfaat.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Ilmu yang bermanfaat secara mutlak di dunia dan akhirat adalah ilmu syar’i (ilmu Islam). ilmu yang pengamalnya yang diikhtiraf oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. , ilmu ini adalah seperti yang diungkapkan oleh Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot, “Ilmu yang muktabar menurut syara’ adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan pemiliknya mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun ia, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa pemiliknya mematuhi aturan-aturannya suka atau tidak suka”.

Mengenai ilmu pengetahuannya yang bermanfaat kepada orang lain. Dengan kata lain, segala ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain dan dapat menambahkan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT. Maka selama ilmu itu masih dipelajari, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan dimasukkan ke dalam catitan amalan kebajikannya. Antara lain, seperti apabila seseorang yang mengarang kitab untuk rujukan orang lain, maka selagi kitabnya dapat memberikan manfaat kepada orang lain, maka Allah akan mengurniakan ganjaran dan pahala yang berterusan kepada pengarang kitab tersebut.

Dalam Islam ilmu boleh dikatagorikan kepada dua bahagian :

1. Ilmu Fardu Ain. (Ilmu Tauhid (aqidah), ilmu Feqah dan ilmu Tasauf, termasuk juga ilmu tajwid, faraid, tafsir al-Qur'an dan hadis)

2. Ilmu Fardu Kifayah. (Ilmu sains, kejuruteraan, ict, perakaunan, pentadbiran, pengurusan dan kedoktoran)

Islam amat mengambil berat tentang keperluan menuntut ilmu, mengamalkan ilmu yang dipelajari dan menyampaikan pula ilmu tersebut untuk di maanfaatkan oleh orang lain.

Nabi s.a.w bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke Syurga”. (Hadis Riwayat Muslim)

Bagi orang Islam Syurga adalah ganjaran paling tertinggi dan paling dikehendaki. Maka mereka yang belajar ilmu sebelum mendapat ganjaran akhirat di dunia lagi dijanjikan dengan janji sentiasa mendapat perlindungan sayap malaikat kerana redha dengan apa yang mereka lakukan. Malah kelebihan belajar ini diperkukuh dengan hadis riwayat Ibn Abdul Barr dan Ibn Majah, Nabi s.a.w bersabda maksudnya, “Belajar satu bab daripada ilmu lebih baik dari sembahyang (sunat) seratus rakaat”.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13).

Sahabat yang dirahmati Allah, Berdasarkan hadis di atas, setiap daripada kita yang memiliki ilmu, kemahiran dan pengetahuan yang baik, boleh kita ajarkan dan sampaikan kepada orang lain samaada berbentuk ilmu agama , ilmu akademik dan kemahiran, amalan kita adalah amalan yang amat terpuji. Apabila kita sampaikan kepada orang lain dan ilmu tersebut diamalkan dan disampaikan semula secara berterusan hingga ke hari kiamat, maka kita tetap akan mendapat ganjaran pahala yang berterusan. Begitu juga sebaliknya ilmu yang memudharatkan orang lain atau ilmu bermaksiat kepada Allah, pengamal dan penyampainya akan mendapat dosa disisi Allah dan dosa yang berterusan sehingga hari kiamat jika di amalkan dan diikuti oleh seseorang. Oleh itu jauhilah diri kita daripada perbuatan dan amalan yang boleh menyesatkan diri kita sendiri dan menyesatkan orang lain.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, " Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat". Setiap kalimah, pengajaran, ilmu, tazkirah, risalah, nasihat yang kita ambil daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w adalah merupakan ilmu-ilmu yang bermanfaat yang akan dapat menambahkan pahala dan amal soleh ketika kita hidup di dunia ini.

Hidup di dunia ini hanya sementara, di akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi, dari itu pergunakanlah sepenuh masa dan tenaga yang ada untuk kita melaksanakan sebanyak mungkin amal ibadah, amal soleh, amal kebaikan dan menyampaikan ilmu yang bermaanfaat untuk membantu kita semasa timbangan amal dan ketika berhadapan dengan Allah s.w.t. di hari pengadilan nanti.

Sahabat yang dihormati, Ilmu yang kita miliki perlulah di amalkan kerana orang Mukmin akan mengamalkan ilmunya dan nampak jelas pada dirinya sifat takut kepada Allah s.w.t.

{إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء}

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah Fathir : 28)

Ilmu tidak akan bermanfaat apabila ilmu tersebut tidak diamalkan. Allah s.w.t. berfirman menegur orang-orang yang tidak mengerjakan apa yang ia katakan atau ajarkan,

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ * كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ}

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan” (Surah Ash Shof : 2-3)

Dan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari sahabat Usamah bin Zaid r.a ia berkata,

“يؤتى بالرجل يوم القيامة فيلقى فى النار فتنتدلق اقتاب بطنه فيدور بها كما يدور الحمار فى الرحى، فيجتمع إليه أهل النار، فيقولون: يافلان، مالك؟ ألم تكن تأمر بالمعروف وتنهى عن المنكر؟ فيقول بلى، كنت أمر بالمعروف ولا آتيه وأنهى عن المنكر وأتيه”

“Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya, “Di hari kiamat didatangkan seseorang lalu dicampakkan ke dalam Neraka maka terburailah usus-ususnya, dia berputar-putar dengan ususnya seperti seekor keledai berputar-putar pada ikatannya. Maka penghuni Neraka mengerumuninya, mereka berkata, ‘Hai fulan, ada apa denganmu? Bukankah dulu engkau mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran?’ ia menjawab, ‘Benar, aku mengajak kepada kebaikan tetapi aku tidak mengerjakan dan aku melarang dari kemungkaran tetapi aku melakukannya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dirahmati Allah, Nabi s.a.w. sentiasa berdo’a kepada Allah memohon perlindungan dari ilmu yang tidak bermanfaat,

“اللهم أنى أعوذ بك من علم لا ينفع ومن قلب لا يخشع، ومن نفس لا تشبع ، ومن دعاء لا يسمع”

‘Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyu’, dari nafsu yang tidak puas, dan dari do’a yang tidak didengar”. (Hadis Riwayat Muslim , At-Tirmidzi dan An Nasai dari hadis Zaid bin Arqam)

Sahabat Abu Darda’ r.a. berkata, “Yang aku takuti di hari kiamat adalah ketika dikatakan kepadaku, ‘Apakah engkau mengetahui atau tidak? Aku menjawab, ‘Aku mengetahui’. Maka tidak ada satupun ayat dari Kitabullah yang memerintahkan atau melarang melainkan mendatangiku menanyakan perintah dan larangannya. Ayat yang memerintahkan bertanya apakah engkau kerjakan? Dan ayat yang melarang bertanya apakah engkau tinggalkan? Maka Aku berlindung kepada Allah dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyu’, dari nafsu yang tidak puas, dan dari do’a yang tidak didengar”. (Hadis Riwayat Al Baihaqy, Ad Darimy dan Ibnu Abdil Barr dari beberapa jalan dari Abu Darda’).

Berapa ramai orang yang mengingatkan manusia kepada Allah sementara dia sendiri lupa kepadaNya. Berapa ramai orang yang menakut-nakuti manusia dengan Allah ternyata dia berani menentang Allah. Berapa ramai orang yang mengajak manusia mendekatkan diri kepada Allah, dia malah jauh dari Allah. Berapa ramai orang yang menyeru mengajak manusia kepada Allah sedangkan dia sendiri jauh dari Allah dan berapa ramai orang yang membaca Kitabullah lalu dia melepaskan dirinya dari ayat-ayat Allah?

Sungguh, jika ilmu tidak membantu pemiliknya untuk menjalankan ibadah kepada Allah s.w.t. maka tidak ada nilainya. Jika ilmu tidak membuat pemiliknya dekat kepada Allah tidak ada gunanya. Dan jika ilmu tidak menimbulkan perasaan takut kepada Allah maka ilmu itu tidak membawa kebaikan.

Oleh itu ilmu yang baik dan bermanfaat adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal dengan segala perkara yang dapat mendekatkan dia kepada Allah ‘Azza wa Jalla, menjalankan perintah Allah dan menjauhi laranganNya dan tidak melampaui batasan-batasan yang ditetapkan oleh Allah.

Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan kepada kita ilmu yang bermanfaat serta menjauhkan dari ilmu yang tidak bermanfaat