Jumaat, 6 April 2012

“SEPERTI BUIH-BUIH TERAPUNAG”

                                                    


Wahai saudara-saudaraku, masihkah kita ingat akan perbualan yang pernah berlaku antara Rasulullah S.A.W. dengan para sahabat baginda?

“Akan datang pada suatu masa, dimana umat lain akan datang merebut kamu, hampir-hampir ibarat sekumpulan orang-orang yang rakus, berkerumun berebut-rebut disekitar hidangan makanan mereka”Mendengar sabda baginda itu, para sahabat menjadi hairan sehingga mereka berkata, “Sehingga begitukah sekali nasib umat Islam yang akan lahir sesudah mereka nanti?”. Mereka semua telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W. “ Apakah pada masa itu bilangan kita kecil ya Rasulullah?”. Jawab Rasulullah S.A.W “Tidak, jumlah umat Islam amat besar sekali, tetapi nilai umat Islam adalah diibaratkan seperti buih-buih yang terapung-apung di atas air (umat Islam diibaratkan seperti buih yang hanya mengikut alunan ombak, lemah jikalau dapat bergerak, hanya mnumpang kepada angin dan arus). Para sahabat bertanya lagi, “ Kenapa menjadi sedemikian?” Rasulullah S.A.W. berkata, “ Sebab terbenam di hatimu (umat Islam) perasaan takut pada musuh” para sahabat bertanya lagi, “Dalam kelemahan jiwa yang bagaimana dimaksudkan itu?” Rasulullah S.A.W. menjawab “ Tamakkan (cinta) dunia dan takutkan mati”.

            Oleh hal demikian, marilah saudara-saudaraku kita bersama-sama kembali bersatu untuk menegakkan agama Allah ini, yakni Islam. Ingatlah bahawa Islam itu adalah agama yang hak dan agama yang telah Allah reda. Janganlah kita lalai dengan kesenangan dunia, kerana ia tidak akan berkekalan serta janganlah kita lalai daripada melaksanakan perintah Allah kerana azab Allah amatlah pedih. Tuntutlah ilmu dan janganlah berhenti daripada menuntut ilmu, janganlah sesekali merasakan ilmu yang kita perolehi telah banyak, tetapi ingatlah bahawa ilmu yang kita ada sekarang ini amatlah sedikit sekali. Dengan ilmu kita dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil, antara Islam dengan kekufuran, antara yang halal dengan yang haram, Allah dengan syaitan.

            Bagi mengembalikan kegemilangan yang pernah dicapai oleh agama Islam pada suatu masa dahulu, kita mestilah ;

1.    Mengetahui matlamat hidup kita yang sebenar, iaitu untuk menyembah Allah tanpa menyekutukan-Nya

2.    Mengetahui hakikat Islam yang sebenar dan yakin dengannya serta dapat membezakan antara Islam dan kekufuran

3.    Mengikut al-Quran dan as-Sunnah dalam segala hal kehidupan agar tidak terpesong daripada jalan yang benar

4.    Berbangga dan bersyukur sebagai seorang Islam

5.    Mengetahui nilai sebenar akhirat berbanding dengan dunia agar tidak tertipu dengannya.

6.    Mengetahui dan yakin bahawa maut itu akan datang menjemput setiap yang hidup apabila tiba masanya

7.    Berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi menunaikan segala perintah Allah

8.    Berlaku adil dalam setiap hal dan menanamkan akhlak yang tinggi dalam diri

9.    Merapatkan persaudaraan Islam sesama Islam

Oleh hal demikian, kita mestilah sentiasa berusaha untuk maju demi Islam dan berdoa agar Allah sentiasa memberi petunjuk kepada kita serta semoga kita akan meninggalkan dunia ini dalam keadaan Allah reda kepada kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan