Ahad, 5 Februari 2012

MUHAMMAD BIN ABDULLAH BIN ABDUL MUTALIB BIN HASYIM BIN ABDUL MANAF BIN QUSAY BIN KILAB BIN MURRA BIN KAAB BIN KHUZAIMAH BIN ISMAIL BIN IBRAHIM


Siapakah insan yang diberi nama yang sedemkian? Mengapakah nama itu menjadi pilihan hati? Muhammad bin Abdullah merupakan seorang insan yang cukup hebat dan telah diiktiraf oleh dunia akan kehebatan yang dimiliki oleh insan tersebut. Nama “Muhammad” menjadi pilihan oleh seorang yang bergelar datuk iaitu Abdul Mutalib bin Hasyim, yang membawa maksud “Yang Terpuji”. Kisah hidup seorang insan yang cukup hebat ini bermula pada 12 Rabiulawal pada tahun Gajah bersamaan 20 April , 571 Masihi. Insan ini telah menjadi piatu semasa dalam kandungan ibu dan telah menjadi yatim piatu apabila umur mencapai enam tahun. Telah mendirikan masjid ‘perkahwinan’ pada umur 25 tahun bersama Siti Khadijah binti Khuwailid yang berumur 40 tahun. Telah menjadi pesuruh Tuhan Yang Satu (Allah) pada umur 40 tahun di Gua Hira’, dimana jatuhnya 17 Ramadhan bersamaan 6 Ogos, 610 Masihi.

                Telah menjalankan usaha dakwah selama 23 tahun, iaitu 13 tahun di tempat kelahiran, yakni Makkah dan 10 tahun di Bandar Bercahaya (Madinah). insan ini mendapat gelaran al-Amin daripada kaum Qurais kerana seorang yang sangat boleh dipercayai. Telah berjaya membuka semula Kota Makkah dan telah membersihkan Kaabah daripada berhala pada hari penghulu hari (Jumaat), dalam bulan rahmat (Ramadhan) tahun kelapan hijrah. Dakwah yang dibawa oleh insan ini telah berjaya menggegarkan empayar Rom dan Parsi serta menjadi batu asas kejatuhan empayar besar ini. Telah menyahut seruan Ilahi pada umur 63 tahun, pada hari Isnin pada tarikh kelahiran baginda (12 Rabiulawal) tahun ke-11 hijrah.

                Insan yang bernama Muhammad ini merupakan seorang Nabi dan rasul terakhir Allah. Apabila diutuskan baginda, kelak tidak akan ada lagi nabi yang akan diutuskan.  Telah dikurniakan pelbagai mukjizat, misalnya al-Quran yang merupakan mukjizat yang paling hebat diantara mukjizat-mukjizat yang lain. Baginda adalah al-Quran yang bergerak, kerana setiap apa yang terkandung dalam Kitabullah ini terdapat pada baginda juga.

                Baginda adalah kekasih Allah, namun bukan Tuhan dan bukan pula Anak Tuhan. Baginda adalah manusia biasa yang perlu makan minum dan sebagainya. Perutusan baginda adalah sebagai rahmat kepada seluruh alam, bukan hanya kepada diri dan kaum baginda sahaja, tidak seperti nabi-nabi dan rasul-rasul yang terdahulu yang hanya kepada kaum-kaum mereka sahaja.

                Nama insan yang agung ini telah disebut dalam kitab-kitab yang terdahulu, misalnya dalam Kitab Taurat dan Kitab Injil. Baginda adalah seorang yang Ummi “ tidak tahu membaca dan menulis”. Pentingnya, kerana dapat membidas tomahan yang dilontarkan oleh mereka yang mengatakan bahawa al-Quran itu ditulis oleh baginda, bukan daripada Allah. Baginda juga adalah seorang yang bercakap jika perlu sahaja. Tidak melakukan perkara-perkara yang sia-sia.

Dan tidaklah kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi 
sekalian alam.. (Al-Anbiya’:107)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan