1. Apakah itu mati?
Mati, ialah perpisahan antara roh
dengan jasad setelah dicabut oleh malaikat Izrail a.s. Jasad yang tidak berjiwa
akan dimandikan, dikafankan, disembahyangkan, dan dikuburkan. Semasa berada di
dalam kubur, jasad tersebut akan berada dalam keadaan yang bagaimana mengikut
amalan semasa berada di dunia dan setelah menjawab soalan daripada malaikat
Munkar dan Nakir. Jasad tersebut akan terus berada di dalam kubur tersebut
sehingga tiba Hari Yang Penuh Huru-Hara atau hari yang lebih dikenali, iaitu
Hari Kiamat. Firman Allah yang bermaksud :
“Bagaimana kamu ingkar kepada Allah,
padahal kamu (tadinya) mati, lalu Dia menghidupkan kamu, kemudian Dia mematikan
kamu lalu Dia menghidupkan kamu kembali. Kemudian kepada-Nyalah kamu
dikembalikan.” (Surah al-Baqarah : 28)
2. Makhluk yang berjiwa
pasti akan merasai mati
Ketahuilah bahawa setiap orang yang
hidup di alam dunia pasti akan merasai mati, tidak kira walau bagaimanapun cara
kematian itu. Firman Allah yang bermaksud :
“Setiap yang bernyawa akan merasakan
mati. Dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasanmu.
Sesiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia
memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.”
(Surah Ali ‘Imran : 185)
3. Bilakah tibanya masa
kematian itu?
Masa kematian itu tidak diketahui
oleh sesiapapun melainkan Allah. Tarikh kematian seseorang insan itu telah
ditetapkan sejak azali lagi. Firman Allah yang bermaksud :
“Katakanlah, “Sesungguhnya kematian
yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu, kemudian kamu akan
dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu
Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Ju’muah : 8)
“Dan setiap yang bernyawa tidak akan
mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan
waktunya. Sesiapa yang mengkehendaki pahala dunia, nescaya Kami berikan
kepadanya pahala (dunia) itu, dan barang siapa yang mengkehendaki pahala
akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala (akhirat) itu, dan Kami akan
memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Surah Ali Imran : 145)
Apabila
ajal seseorang itu telah tiba juga, ia tidak lagi akan dapat diundur atau
dipercepatkan. Firman Allah yang bermaksud :
“Maka apabila telah tiba waktu (yang
ditentukan) bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkan walaupun sesaat dan
tidak (pula) mempercepatkannya.” (Surah an-Nahl : 61)
4. Keluarnya roh daripada
tubuh
Cara roh keluar daripada jasad
adalah berbeza-beza mengikut amalan agamanya. Jika baik agama dan amalannya,
maka eloklah cara kematiannya, manakala bagi yang buruk agama dan amalannya,
maka teramatlah perit cara kematiannya. Ada dikatakan bahawa rasa sakitnya mati
itu adalah seperti dicucuk dengan 300 pedang.
Selepas
dimandi, dikafan, disembahyang dan dikuburkan, maka datanglah dua malaikat
Munkar dan Nakir. Kedua malaikat tersebut akan bertanyakan beberapa soalan
kepada si mati. Antara soalannya, ialah siapakah Tuhanmu? Apakah agamamu? Dan
beberapa soalan lain. Jika si mati dapat menjawabnya dengan betul makan
berbahagialah si mati di dalam kubur sehingga tiba hari kiamat.
5. Cara roh dicabut
Kerja-kerja untuk mencabut nyawa
makhluk-makhluk Allah telah diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya daripada
golongan malaikat, iaitu malaikat Izrail as.
Disebutkan
dalam kitab as-Suluk daripada Muqatil Sulaiman, bahawa malaikat maut mempunyai
ranjang di langit yang ketujuh, manakala dalam riwayat yang lain pada langit
keempat. Ia memiliki 70,000 kaki dan 4,000 sayap. Seluruh tubuhnya penuh dengan
mata dan mulut. Wajah, mata, tangan dan telinganya adalah sama dengan bilangan
manusia. Ia mencabut nyawa dengan melihat wajah yang setentang dengan wajahnya.
Jika
satu nyawa telah mati, maka hilanglah satu rupa daripada badannya. Ada juga
dikatakan bahawa malaikat maut berwajah empat. Satu wajah pada muka, pada
kepala, pada punggung dan di bawah kedua telapak kakinya. Ia akan mencabut
nyawa para nabi dan malaikat daripada wajah kepalanya, nyawa orang mukmin
daripada wajah di muka, orang kafir daripada wajah di punggung, manakala nyawa
jin daripada wajah di kedua telapak kakinya.
6. Pertanyaan roh
Terdapat riwayat yang mengatakan
bahawa semasa malaikat maut ingin mencabut nyawa seorang mukmin, maka rohnya
akan berkata kepada malaikat maut, “Aku tidak akan ikut selagi engkau belum
diperintah untuk urusan itu.” Lalu roh tersebut akan meminta tanda-tanda
kebenaran untuk mengambil rohnya. Maka kembalilah malaikat maut kepada Allah,
lalu Allah berfirman “Adakah engkau sudah mencabut nyawa daripada seorang
hamba-Ku?” malaikat maut menjawab, “ Ya Allah, bahawasanya hamba-Mu berkata
sedemikian.... dan meminta tanda-tanda daripada ku.” Allah berfirman “Wahai
malaikat maut, pergilah ke syurga dan ambillah tuffah dan itulah tanda-tanda
daripada-Ku, maka perlihatkanlah kepada hamba-Ku itu itu.” Lalu malaikat maut
menuju ke syurga dan mengambil tuffah tersebut, dimana ia tertulis ‘Dengan Nama
Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang’. Setelah tuffah tersebut dilihat
oleh roh tersebut, maka roh tersebut keluar dalam keadaan yang baik.
7. Jawapan anggota badan
Terdapat riwayat semasa roh
seseorang hamba itu akan dicabut nyawanya, malaikat maut akan cuba menarik
rohnya daripada mulut, tetapi tidak dapat. Mulut mengatakan bahawa tidak ada
jalan bagi roh ini keluar daripadaku, kerana mulutnya selalu berzikir. Kemudian
malaikat maut kembali kepada Allah dan menceritakan hal sedimikian kepada
Allah. Lalu Allah memerintahkan kepada malaikat maut supaya mencabut nyawa hambanya
itu daripada arah yang lain. Malaikat maut kembali kepada roh tersebut dan cuba
untuk mencabutnya melalui tangan, tetapi tidak dapat juga kerana tangan berkata
bahawa tangannya selalu digunakan untuk kebaikan semasa hidupnya seperti
bersedekah. Malaikat maut beralih arah kepada bahagian kaki, tetapi kaki juga
tidak membenarkan roh hamba itu keluar daripada kaki, kerana kakinya selalu
digunakan untuk ke masjid dan ke majlis-majlis ilmu.
Kemudian
malaikat maut pergi kepada bahagian mata, tetapi tidak juga dibenarkan oleh
mata untuk mancabut nyawa hamba tersebut daripadanya kerana matanya telah
digunakan untuk melihat Quran, wajah-wajah para alim ulama’, kedua ibu bapanya
dan pada solihin. Akhirnya, malaikat maut kembali keada Allah dan berkata
“Wahai Tuhanku, bahawasanya hamba-Mu berkata sedemikian.....”
Maka
Allah Ta’ala berfirman, “Wahai malaikat maut, tulislah nama-Ku pada tapak
tanganmu dan perlihatkanlah kepada roh hamba-Ku itu.” Setelah malaikat maut
membuat sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah kepadanya, akhirnya
malaikat maut berjaya menarik roh tersebut keluar daripada badan dalam keadaan
yang baik. Firman Allah yang bermaksud :
“Maka apakah orang-orang yang
dibukakan hatinya oleh Allah untuk (menerima) agama Islam lalu dia mendapat
cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang hatinya keras)? Maka celakalah
mereka yang hatinya telah menjadi keras untuk mengingati Allah. Mereka itu
berada dalam kesesatan yang nyata.” (Surah az-Zumar : 22)
8. Cara syaitan menghasut
semasa saat terakhir roh
Syaitan itu merupakan musuh bagi
umat manusia yang nyata. Ia merupakan makhluk yang tinggal di alam ghaib,
diciptakan daripada api, dibenarkan hidup sehingga ke hari kiamat dan telah
berjanji untuk menyesatkan umat manusia daripada kebenaran yang nyata. Firman
Allah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman!
Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu mengikuti
langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu.” (Surah
al-Baqarah : 208)
“Sesungguhnya (syaitan) itu hanyalah
menyuruh kamu agar berbuat jahat dan keji dan mengatakan apa yang kamu tidak
ketahui mengenai Allah” (Surah al-Baqarah : 169)
Semasa
saat terakhir seseorang manusia di atas muka bumi ini, syaitan akan cuba
melakukan apa sahaja yang boleh dilakukan agar manusia mati dalam keadaan tidak
beriman kepada Allah. Syaitan akan mendatangi hamba itu sambil membawa
semangkuk air, lalu menggerakkan air tersebut kepadanya. Syaitan akan menyuruh
hamba itu mengatakan bahawa Rasulullah itu dusta, kemudian barulah dia akan
memberikan air itu. Hal ini demikian, semasa saat terakhir itu tubuh akan
berasa sungguh panas dan berada dalam keadaan dahaga. Justeru itulah, syaitan
membawa semangkuk air tersebut sebagai balasan jika hamba tersebut menurut apa
yang diminta oleh syaitan, tetapi air yang ditawarkan oleh syaitan itu hanyalah
khayalan semata-mata. Maka berbahagialah kepada jiwa yang menolak air tersebut
dan celakalah bagi orang yang menerima air tersebut. Firman Allah yang
bermaksud :
“Syaitan itu memberikan janji-janji
kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, padahal
syaitan itu hanya menjanjikan tipu daya kepada mereka.” (Surah an-Nisa : 120)
“Wahai orang-orang yang beriman!
Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah
kamu mati kecuali dalam keadaan Islam.” (Surah Ali Imran : 102)
9. Panggilan kepada mayat
Terdapat riwayat menceritakan,
taktala roh berpisah daripada tubuh, terdapat suara daripada langit yang
berbunyi : Wahai anak Adam,
a.
Apakah kamu meninggalkan dunia atau dunia meninggalkan
kamu?
b.
Apakah kamu mengumpulkan dunia atau dunia mengumpulkan
kamu?
c.
Apakah kamu mematikan dunia atau dunia mematikan kamu?
Semasa jasad berada di
tempat mandi, terdapat suara yang berbunyi : Wahai anak Adam,
a.
Dimanakah tubuhmu yang kuat, bukankah sekarang kamu
menjadi lemah?
b.
Dimanakah mulutmu yang berbicara, bukankah sekarang kamu
menjadi diam?
c.
Dimanakah semua temanmu, bukankah mereka sekarang
mengasingkan kamu?
Semasa jasad berada di
tempat untuk dikafankan, maka terdapat suara yang berbunyi : Wahai anak Adam,
a.
Pergilah kamu ke tempat yang jauh tanpa membawa bekal!
b.
Keluarlah kamu dari rumahmu dan jangan kembali semula!
c.
Naiklah kuda dan kamu tidak akan naik seperti itu
selamanya, kamu akan menjadi sesuatu di dalam rumah yang penuh kesedihan!
Semasa jasad sedang
diusung, terdapat suara yang berbunyi : Wahai anak Adam,
a.
Sangat berbahagialah kamu jika kamu termasuk orang yang
bertaubat.
b.
Sangat berbahagialah kamu jika amalmu baik.
c.
Sangat berbahagialah kamu jika sahabatmu dalam keredaan Allah
dan alangkah celakanya kamu jika para sahabatmu orang yang dimurkai Allah.
Semasa jasad berada
diruang untuk disembahyangkan, terdapat suara yang berbunyi : Wahai anak Adam,
a.
Segala amalan yang telah kamu lakukan akan kamu lihat!
b.
Jika amal perbuatanmu baik, maka kamu akan menjadi baik!
c.
Jika amal perbuatanmu buruk, maka kamu akan menjadi
buruk!
Semasa jasad berada di
tepi kubur, terdapat suara yang berbunyi : Wahai anak Adam,
a.
Bukankah kamu menambah damai di tempat yang sempit ini?
b.
Bukankah kamu membawa kekayaan di tempat kefakiran ini?
c.
Bukankah kamu membawa cahaya penerang di tempat yang
gelap ini?
Semasa jasad diletakkan
ke dalam liang lahad, terdapat suara yang berbunyi : Wahai anak Adam,
a.
Kamu berada di atasku bersenda gurau, tetapi kamu
menangis di dalamku.
b.
Kamu berada di atasku bergembira, tetapi kamu menjadi
cemas dan duka di dalamku.
c.
Kamu berada di atasku dapat berbicara, tetapi kamu
menjadi diam di dalamku.
10. Ucapan roh setelah
keluar
Ketika hendak dimandikan, maka
berkatalah roh :
i.
Wahai orang yang memandikan aku, aku minta kepadamu
kerana Allah, untuk melepaskan pakaian aku dengan sebaik-baiknya, kerana saat
ini aku baru sahaja dicabut nyawaku daripada jasadku.
ii.
Wahai orang yang memandikan roh, janganlah engkau
menuangkan air itu dalam keadaan yang panas. Dan janganlah pula air yang panas
dan janganlah pula air yang sejuk. Kerana tubuhku dalam keadaan terbakar
selepas rohku dicabut.
iii.
Demi Allah wahai orang yang memandikan, janganlah engkau
menggosok aku dengan kuat. Sebab tubuhku penuh dengan kesakitan setelah
keluarnya roh.
Ketika hendak dikafankan, maka roh
berkata :
“Wahai orang yang mengakafankanku,
janganlah kamu mengkafanku dengan kasar pada bahagian kepalaku, kerana aku
ingin melihat wajahku, anak-anakku dan kerabatku. Sebab ini adalah
penglihatanku yang terakhir buat mereka. Adapun aku pada hari ini memisahkan
mereka dan aku tidak akan melihat mereka sehingga hari kiamat.”
Ketika dikeluarkan daripada rumah,
maka roh berkata :
“Demi Allah wahai jemaahku, aku
telah meninggalkan isteriku menjadi janda. Maka janganlah kamu menyakitinya.
Anak-anakku telah menjadi yatim, maka janganlah kamu menyakiti mereka.
Sesungguhnya pada hari ini aku dikeluarkan dari rumahku dan aku tidak akan
kembali buat selama-lamanya.”
Ketika mayat diletakkan di dalam
peti jenazah, maka roh akan berkata :
“Demi Allah wahai jemaahku,
janganlah kalian mempercepatkan aku sehingga aku mendengar suara ahli
keluargaku, anak-anakku dan para sahabarku. Sesungguhnya aku pada hari ini
berpisah dengan mereka sehingga ke hari kiamat.”
Ketika jenazah diusung, maka roh
akan berkata :
“Wahai para kekasihku, wahai
saudara-saudaraku dan wahai anak-anakku, janganlah kalian diperdayakan oleh
dunia sebagaimana ia telah memperdayakan aku. Dan janganlah kalian bermain-main
pada masa ini sebagaimana ia telah mempermainkan aku. Hendaklah kalian
mengambil iktibar daripada kematian aku. Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang
telah aku kumpulkan untuk para warisku. Dan sedikitpun mereka tidak mahu
menanggung kesalahanku. Adapun di dunia Allah menghisab aku, padahal kamu semua
berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku.”
Ketika jenazah diletakkan ke dalam
liang lahad, maka roh akan berkata :
“Demi Allah, wahai warisku, bukankah
aku menggumpulkan harta yang banyak semasa di dunia dan aku tinggalkan ia untuk
kalian. Maka hendaklah kalian mengingatku dengan memperbanyak kebaikan kalian.
Aku telah mengahar kalian akan al-Quran dan adab kesopanan. Maka janganlah
kalian daripada doa kalian.”
11. Roh kembali ke rumahnya?
Terdapat riwayat yang mengatakan
bahawa jika datangnya Hari Raya, Hari Asyura’, Hari Jumaat dalam bulan Rejab,
malam Nisfu Sya’aban, Lailatul Qadr dan malam-malam jumaat, para roh akan
berada di pintu-pintu rumahnya sambil berkata, ‘Kasihanilah daku pada malam
yang berkat ini dengan sedekah, tetapi mengapa tidak mahu berikan? Maka
ingatlah daku dengan menyedekahkan kami al-Fatihah pada malam yang berkat ini.’
Jika
roh mendapat sedekah dan doa daripada kaum kerabatnya, ia akan pulang dengan
perasaan yang gembira, manakala jika tidak mendapat apa-apa ia akan pulang
dalam keadaan yang sedih.
12. Ciri-ciri kematian
Mati dapat dibahagikan kepada dua
bahagian, iaitu mati dalam keadaan yang baik dan yang buruk. Mereka yang mati
dalam keadaan yang baik, insya’Allah akan selamatlah di alam kubur, manakala
mereka yang mati dalam keadaan yang hina maka akan terseksalah di alam barzakh.
Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman,
bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah
sesekali kamu mati melainkan dalam keadaaan Islam.” (Surah Ali Imran : 102)
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud
:
“Bila mana Allah mengkehendaki
kebaikan seseorang akan diberikannya kedudukan yang baik. Salah seorang
bertanya kepada Rasulullah : ‘Bagaimana caranya diberi kedudukan?’ Rasulullah
menjawab : ‘Ditunjukkannya ke arah perbuatan yang baik sebelum meninggal dan
setelah itu barulah dicabut nyawanya.” (HR. Ahmad, Tirmizi, Ibnu Hibban dan
al-Hakim daripada Anas)
Mudah-mudahan
kita semua termasuk dalam golongan yang mati dalam keadaan yang baik dan dapat
mengucapkan dua kalimah syahadat.