Sabtu, 18 April 2015

SIFAT PEMAAF, BERSIH HATI, PENENANG JIWA

Hasil carian imej untuk sabar
Allah menjadikan manusia lengkap sempurna dengan pelbagai keinginan dan perasaan. Kesemua yang dijadikan itu memilki pasangan atau lawannya masing-masing. Sebagai contoh, Allah menciptakan cantik lawannya hodoh, tua lawannya muda dan pelbagai sifat yang lain.
            Salah satu sifat yang ada pada manusia, ialah sifat pemaaf. Bukan semua orang memiliki sifat sedemikian, kecuali orang yang beriman dan bertakwa sahaja. Pemaaf merupakan sifat yang luhur dimana ia patut dimiliki oleh semua orang kerana orang yang pemaaf adalah orang yang hampir kepada Allah.
            Dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 132, Allah mengigatkan, “ Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.”
            Dalam situasi hidup sekarang, bukan mudah untuk memupuk sifat pemaaf dalam diri terutamanya apabila menghadapi masalah yang melibatkan emosi diri. Sifat marah yang menjadi lawan kepada pemaaf akan berusaha menguasai emosi seseorang.
            Syaitan akan mengemudi sifat marah, manakala iman dan takwa akan menjadi benteng bagi sifat pemaaf. Syaitan akan menggunakan kelemahan manusia untuk menguasai jiwa agar sentiasa marah. Bayangkanlah dalam keadaan yang tertentu, kita ditipu, dihina, dimarah, dikeji, dipulau, diherdik atau dipukul, maka siapakah yang mampu menahan sabar kecuali kemarahan akan membuak-buak apabila dilanda keadaan sedemikian.
            Apabila perasaan marah tidak dapat dikawal, ia akan melibatkan tindakan fizikal seperti mencederakan, bahkan tidak mustahil akan berlaku pembunuhan.
            Dalam keadaan yang sedemikian, ia memerlukan diri untuk mengawal kemarahan dengan menukarkan diri kepada seorang yang pemaaf. Misalnya, memaafkan yang yang telah mengeji kita dan menukarnya kepada doa yang baik.
            Mereka yang berupaya menahan kemarahan adalah mereka ynag berjaya meletakkan diri dalam kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.
            Dalah hadis Riwayat Ahmad, Rasulullah s.a.w berkata, “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai diri ketika marah.” – al-Bukhari dan Muslim
            Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w pernah meminta kepada seorang lelaki untuk mengajarnya apabila kesabaran di dalam diri tidak dapat dikawal. “Jangan marah,” beritahu Rasulullah s.a.w kepada lelaki itu. Bagaimanapun lelaki itu tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut. Baginya besar manakah pahalanya hanya sekadar menahan marah. Kemudian lelaki itu mengulangi pertanyaan tersebut.
            “Jangan marah,” jawab Rasulullah s.a.w lagi bagi membayangkan tidak ada amalah lain yang lebih baik selain tidak marah dan menahan sabar. Begitulah seterusnya, Rasulullah s.a.w mengingatkan supaya jangan marah. – hadis sahih riwayat al-Bukhari.
            Oleh kerana itulah, Rasulullah s.a.w selalu berpesan agar menahan sabar dan bersifat pemaaf apabila berhadapan dengan sesuatu perkaran yang boleh menyebabkan emosi seseorang tercabar.
            Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf sentiasa berada dalam keadaan yang tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.
            Rasulullah s.a.w pernah berhadapan dengan kemarahan taktala menyaksikan bagaimana bapa saudaranya, Saiyyidina Hamzah Abu Talib dibunuh dengan kejam dan di luar batas kemanusiaan dalam perang uhud. Kemarahan dan perasaan dendam Rasulullah s.a.w akhirnya dilembutakn Allah apabila turunnya ayat al-Quran yang meminta Rasulullah s.a.w tabah serta bersabar dengan ujian besar yang diterima baginda.
            Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud, “Kalaulah engkau bersikap kasar dan keras hati terhadap mereka, tentulah mereka akan lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah kesalahan mereka.”

            Justeru itu, marilah kita bersama-sama menjaga hati kita supaya tidak dibelenggu dengan sifat marah, kerana sifat ini tidak mendatangkan sebarang keberuntungan bahkan hanya mengundang kemudaratan sahaja. Buka minda dan buka hati serta bersihkanlah hati dengan zikir-zikir kepada Allah serta selawat kepada Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan hati kita akan menjadi lembut dan mendapat redha-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan