Allah menjadikan manusia lengkap sempurna
dengan pelbagai keinginan dan perasaan. Kesemua yang dijadikan itu memilki
pasangan atau lawannya masing-masing. Sebagai contoh, Allah menciptakan cantik
lawannya hodoh, tua lawannya muda dan pelbagai sifat yang lain.
Salah
satu sifat yang ada pada manusia, ialah sifat pemaaf. Bukan semua orang
memiliki sifat sedemikian, kecuali orang yang beriman dan bertakwa sahaja. Pemaaf
merupakan sifat yang luhur dimana ia patut dimiliki oleh semua orang kerana
orang yang pemaaf adalah orang yang hampir kepada Allah.
Dalam
al-Quran surah Ali Imran ayat 132, Allah mengigatkan, “ Dan orang yang menahan
amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat
kebajikan.”
Dalam
situasi hidup sekarang, bukan mudah untuk memupuk sifat pemaaf dalam diri
terutamanya apabila menghadapi masalah yang melibatkan emosi diri. Sifat marah
yang menjadi lawan kepada pemaaf akan berusaha menguasai emosi seseorang.
Syaitan
akan mengemudi sifat marah, manakala iman dan takwa akan menjadi benteng bagi
sifat pemaaf. Syaitan akan menggunakan kelemahan manusia untuk menguasai jiwa
agar sentiasa marah. Bayangkanlah dalam keadaan yang tertentu, kita ditipu,
dihina, dimarah, dikeji, dipulau, diherdik atau dipukul, maka siapakah yang
mampu menahan sabar kecuali kemarahan akan membuak-buak apabila dilanda keadaan
sedemikian.
Apabila
perasaan marah tidak dapat dikawal, ia akan melibatkan tindakan fizikal seperti
mencederakan, bahkan tidak mustahil akan berlaku pembunuhan.
Dalam
keadaan yang sedemikian, ia memerlukan diri untuk mengawal kemarahan dengan
menukarkan diri kepada seorang yang pemaaf. Misalnya, memaafkan yang yang telah
mengeji kita dan menukarnya kepada doa yang baik.
Mereka
yang berupaya menahan kemarahan adalah mereka ynag berjaya meletakkan diri
dalam kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan sebenar. Sebaliknya, orang
yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.
Dalah
hadis Riwayat Ahmad, Rasulullah s.a.w berkata, “Bukanlah orang yang kuat itu
(dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat
ialah orang yang dapat menguasai diri ketika marah.” – al-Bukhari dan Muslim
Pada
suatu ketika Rasulullah s.a.w pernah meminta kepada seorang lelaki untuk
mengajarnya apabila kesabaran di dalam diri tidak dapat dikawal. “Jangan marah,”
beritahu Rasulullah s.a.w kepada lelaki itu. Bagaimanapun lelaki itu tidak
berpuas hati dengan jawapan tersebut. Baginya besar manakah pahalanya hanya
sekadar menahan marah. Kemudian lelaki itu mengulangi pertanyaan tersebut.
“Jangan
marah,” jawab Rasulullah s.a.w lagi bagi membayangkan tidak ada amalah lain
yang lebih baik selain tidak marah dan menahan sabar. Begitulah seterusnya,
Rasulullah s.a.w mengingatkan supaya jangan marah. – hadis sahih riwayat
al-Bukhari.
Oleh
kerana itulah, Rasulullah s.a.w selalu berpesan agar menahan sabar dan bersifat
pemaaf apabila berhadapan dengan sesuatu perkaran yang boleh menyebabkan emosi
seseorang tercabar.
Sifat
pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi
rohani. Orang yang bersifat pemaaf sentiasa berada dalam keadaan yang tenang,
hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai
diri sendiri untuk melakukan kebaikan.
Rasulullah
s.a.w pernah berhadapan dengan kemarahan taktala menyaksikan bagaimana bapa
saudaranya, Saiyyidina Hamzah Abu Talib dibunuh dengan kejam dan di luar batas
kemanusiaan dalam perang uhud. Kemarahan dan perasaan dendam Rasulullah s.a.w
akhirnya dilembutakn Allah apabila turunnya ayat al-Quran yang meminta
Rasulullah s.a.w tabah serta bersabar dengan ujian besar yang diterima baginda.
Allah
berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud, “Kalaulah engkau
bersikap kasar dan keras hati terhadap mereka, tentulah mereka akan lari dari
kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah kesalahan mereka.”
Justeru
itu, marilah kita bersama-sama menjaga hati kita supaya tidak dibelenggu dengan
sifat marah, kerana sifat ini tidak mendatangkan sebarang keberuntungan bahkan
hanya mengundang kemudaratan sahaja. Buka minda dan buka hati serta
bersihkanlah hati dengan zikir-zikir kepada Allah serta selawat kepada
Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan hati kita akan menjadi lembut dan mendapat
redha-Nya.