Rabu, 18 Mei 2011

POHON APEL


Pada zaman dahulu, terdapat sebatang pohon apel yang amat besar. Seorang anak-anak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pohon apel ini setiap hari. Dia memanjat pohon tersebut, memetik serta memakan apel sepuas hatinya, dan ada kalanya dia beristirahat lalu terlelap di perdu pohon apel tersebut. Anak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pohon apel itu juga menyukai anak tersebut.

Masa berlalu… anak lelaki itu sudah besar dan menjadi remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pohon apel tersebut. Suatu hari dia datang kepada pohon apel tersebut dengan wajah yang sedih. “Marilah bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pohon apel itu.” Aku bukan lagi anak-anak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau,” jawab remaja itu.” Aku mahu mainan dan aku memerlukan wang untuk membelinya,” tambah remaja itu dengan nada yang sedih. Lalu pohon apel itu berkata, “Kalau begitu, petiklah apel-apel yang ada padaku, kemudian jual untuk mendapatkan wang. Dengan begitu, kau dapat membeli mainan yang kau inginkan.”

Remaja itu dengan gembiranya memetik semua apel di pohon itu dan pergi. Dia tidak kembali lagi setelah kejadian tersebut. Pohon apel itu berasa sedih.

Masa berlalu…Suatu hari, remaja itu kembali semula. Dia semakin dewasa. Pohon apel itu merasa gembira.”Marilah bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pohon apel itu.”Aku tidak ada waktu untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah engkau menolongku?” Tanya anak itu. “Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah.” Pohon apel itu memberikan cadangan. Lalu, remaja yang semakin dewasa itu memotong semua dahan pohon apel itu dan pergi dengan gembiranya. Pohon apel itu pun turut gembira tetapi kemudian ia merasa sedih kerana remaja itu tidak kembali lagi.

Pada suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pohon apel itu. Dia sebenarnya adalah anak lelaki yang pernah bermain-main dengan pohon apel itu. Dia telah matang dan dewasa.”Marilah bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pohon apel itu.” Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi anak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk berlayar. Malangnya, aku tidak mempunyai kapal. Bolehkah kau menolongku?” tanya lelaki itu. “Aku tidak mempunyai kapal untuk diberikan kepada engkau. Tetapi kau boleh memotong batang pohon ini untuk dijadikan kapal. Kau akan dapat berlayar dengan gembira,” kata pohon apel itu. Lelaki itu berasa sangat gembira dan menebang batang pohon apel itu. Dia kemudian pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi setelah itu. Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin tua, datang menuju pohon apel itu. Dia adalah anak lelaki yang pernah bermain di sekitar pohon apel itu.”Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi untuk diberikan kepada engkau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat kapal. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati…” kata pohon apel itu dengan nada yang pilu.”Aku tidak mahu apelmu kerana aku sudah tidak bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pohonmu kerana aku tidak berupaya untuk berlayar lagi, aku merasa lelah dan ingin istirahat,” jawab lelaki tua itu.”

Jika begitu, istirahatlah di perduku,” kata pohon apel itu. Lalu lelaki tua itu duduk beristirahat di perdu pohon apel itu dan beristirahat. Mereka berdua menangis kegembiraan.

Sebenarnya, pohon apel yang dimaksudkan dalam cerita itu adalah kedua Ibu Bapa kita. Bila kita masih muda, kita suka bermain dengan mereka. Ketika kita meningkat remaja, kita memerlukan bantuan mereka untuk meneruskan hidup. Kita tinggalkan mereka, dan hanya kembali meminta pertolongan apabila kita dalam kesusahan. Namun begitu, mereka tetap menolong kita dan melakukan apa saja asalkan kita bahagia dan gembira dalam hidup. Kita mungkin berfikir bahawa anak lelaki itu bersikap kejam terhadap pohon apel itu, tetapi itulah hakikatnya bagaimana kebanyakan anak-anak masa kini melayani Ibu Bapa mereka. Hargailah jasa Ibu Bapa kita. Begitu besar jasa kedua orang tua kita dan kita tidak mungkin dapat membalasnya, kerana tanpa mereka kita tidak mungkin manjadi seperti sekarang ini.

ingatlah wahai sahabat-sahabatku bahawa syurga itu terletak dibawah tapak kaki ibu, manakala ayah itu adalah kunci kepada pintu syurga, maka berbuat baiklah kepada mereka seperti mana mereka melakukannya sebelum kita lahir, semasa kita dilahirkan dan selepas kita lahir. mereka menjaga kita dengan penuh kasih sayang. sanggup ibu berjaga malam hanya untuk menjaga kita. sanggup ayah bekerja keras hanya untuk menyara kehidupan kita sekeluarga. adakah sanggup para sahabat melakukan perkara yang sedemikian rupa terhadap kedua ibu bapa kita??? apabila susah bersama mereka, apabila senang tinggalkan mereka. apabila mereka tua hantar mereka ke rumah orang tua. 

saya berharap para sahabat sekalian fikirkanlah... adakah sama banyak kita menelefon mereka berbanding dengan menelefon kekasih kita? berapa banyak kita ucapkan sayang dan datang menjeguk mereka di rumah berbanding dengan kekasih kita? berapa banyak kita mengembirakan mereka berbanding kita mengembirakan kekasih kita? fikir fikirkanlah....

 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24). 

FirmanNya lagi yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedangkan tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah al-Ahqaf ayat 15).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan