Sahabat yang dimuliakan, Salah satu daripada bekalan yang
akan membantu seorang Muslim ketika dia berada di alam barzakh adalah ilmu yang
bermanfaat.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang manusia itu meninggal
dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu
sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan
anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Ilmu yang bermanfaat secara mutlak di dunia dan akhirat
adalah ilmu syar’i (ilmu Islam). ilmu yang pengamalnya yang diikhtiraf oleh
Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. , ilmu ini adalah seperti yang diungkapkan
oleh Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot, “Ilmu yang muktabar menurut
syara’ adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak
membiarkan pemiliknya mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun ia, bahkan ia
mengikat pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa pemiliknya mematuhi
aturan-aturannya suka atau tidak suka”.
Mengenai ilmu pengetahuannya yang bermanfaat kepada orang
lain. Dengan kata lain, segala ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada orang
lain dan dapat menambahkan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT. Maka selama ilmu
itu masih dipelajari, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat
permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan dimasukkan ke
dalam catitan amalan kebajikannya. Antara lain, seperti apabila seseorang yang
mengarang kitab untuk rujukan orang lain, maka selagi kitabnya dapat memberikan
manfaat kepada orang lain, maka Allah akan mengurniakan ganjaran dan pahala
yang berterusan kepada pengarang kitab tersebut.
Dalam Islam ilmu boleh dikatagorikan kepada dua bahagian
:
1. Ilmu Fardu Ain. (Ilmu Tauhid (aqidah), ilmu Feqah dan
ilmu Tasauf, termasuk juga ilmu tajwid, faraid, tafsir al-Qur'an dan hadis)
2. Ilmu Fardu Kifayah. (Ilmu sains, kejuruteraan, ict,
perakaunan, pentadbiran, pengurusan dan kedoktoran)
Islam amat mengambil berat tentang keperluan menuntut
ilmu, mengamalkan ilmu yang dipelajari dan menyampaikan pula ilmu tersebut
untuk di maanfaatkan oleh orang lain.
Nabi s.a.w bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut
ilmu bererti menuntut jalan ke Syurga”. (Hadis Riwayat Muslim)
Bagi orang Islam Syurga adalah ganjaran paling tertinggi
dan paling dikehendaki. Maka mereka yang belajar ilmu sebelum mendapat ganjaran
akhirat di dunia lagi dijanjikan dengan janji sentiasa mendapat perlindungan
sayap malaikat kerana redha dengan apa yang mereka lakukan. Malah kelebihan
belajar ini diperkukuh dengan hadis riwayat Ibn Abdul Barr dan Ibn Majah, Nabi
s.a.w bersabda maksudnya, “Belajar satu bab daripada ilmu lebih baik dari
sembahyang (sunat) seratus rakaat”.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi
contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru
perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan,
maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari
kiamat.” (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13).
Sahabat yang dirahmati Allah, Berdasarkan hadis di atas,
setiap daripada kita yang memiliki ilmu, kemahiran dan pengetahuan yang baik,
boleh kita ajarkan dan sampaikan kepada orang lain samaada berbentuk ilmu agama
, ilmu akademik dan kemahiran, amalan kita adalah amalan yang amat terpuji.
Apabila kita sampaikan kepada orang lain dan ilmu tersebut diamalkan dan
disampaikan semula secara berterusan hingga ke hari kiamat, maka kita tetap
akan mendapat ganjaran pahala yang berterusan. Begitu juga sebaliknya ilmu yang
memudharatkan orang lain atau ilmu bermaksiat kepada Allah, pengamal dan
penyampainya akan mendapat dosa disisi Allah dan dosa yang berterusan sehingga
hari kiamat jika di amalkan dan diikuti oleh seseorang. Oleh itu jauhilah diri
kita daripada perbuatan dan amalan yang boleh menyesatkan diri kita sendiri dan
menyesatkan orang lain.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, " Sampaikan
daripada aku walaupun satu ayat". Setiap kalimah, pengajaran, ilmu,
tazkirah, risalah, nasihat yang kita ambil daripada ayat-ayat al-Quran dan
hadis Nabi s.a.w adalah merupakan ilmu-ilmu yang bermanfaat yang akan dapat menambahkan
pahala dan amal soleh ketika kita hidup di dunia ini.
Hidup di dunia ini hanya sementara, di akhirat adalah
kehidupan yang kekal abadi, dari itu pergunakanlah sepenuh masa dan tenaga yang
ada untuk kita melaksanakan sebanyak mungkin amal ibadah, amal soleh, amal
kebaikan dan menyampaikan ilmu yang bermaanfaat untuk membantu kita semasa
timbangan amal dan ketika berhadapan dengan Allah s.w.t. di hari pengadilan
nanti.
Sahabat yang dihormati, Ilmu yang kita miliki perlulah di
amalkan kerana orang Mukmin akan mengamalkan ilmunya dan nampak jelas pada
dirinya sifat takut kepada Allah s.w.t.
{إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء}
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya,
hanyalah ulama Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah
Fathir : 28)
Ilmu tidak akan bermanfaat apabila ilmu tersebut tidak
diamalkan. Allah s.w.t. berfirman menegur orang-orang yang tidak mengerjakan
apa yang ia katakan atau ajarkan,
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا
تَفْعَلُونَ * كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ}
“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan
sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu
mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan” (Surah Ash Shof : 2-3)
Dan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari
dan Imam Muslim dari sahabat Usamah bin Zaid r.a ia berkata,
“يؤتى بالرجل يوم القيامة فيلقى فى النار فتنتدلق اقتاب بطنه فيدور
بها كما يدور الحمار فى الرحى، فيجتمع إليه أهل النار، فيقولون: يافلان، مالك؟ ألم
تكن تأمر بالمعروف وتنهى عن المنكر؟ فيقول بلى، كنت أمر بالمعروف ولا آتيه وأنهى
عن المنكر وأتيه”
“Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya, “Di hari
kiamat didatangkan seseorang lalu dicampakkan ke dalam Neraka maka terburailah
usus-ususnya, dia berputar-putar dengan ususnya seperti seekor keledai
berputar-putar pada ikatannya. Maka penghuni Neraka mengerumuninya, mereka
berkata, ‘Hai fulan, ada apa denganmu? Bukankah dulu engkau mengajak kepada
kebaikan dan mencegah dari kemungkaran?’ ia menjawab, ‘Benar, aku mengajak
kepada kebaikan tetapi aku tidak mengerjakan dan aku melarang dari kemungkaran
tetapi aku melakukannya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sahabat yang dirahmati Allah, Nabi s.a.w. sentiasa
berdo’a kepada Allah memohon perlindungan dari ilmu yang tidak bermanfaat,
“اللهم أنى أعوذ بك من علم لا ينفع ومن قلب لا يخشع، ومن نفس لا
تشبع ، ومن دعاء لا يسمع”
‘Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari ilmu yang
tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyu’, dari nafsu yang tidak puas, dan
dari do’a yang tidak didengar”. (Hadis Riwayat Muslim , At-Tirmidzi dan An
Nasai dari hadis Zaid bin Arqam)
Sahabat Abu Darda’ r.a. berkata, “Yang aku takuti di hari
kiamat adalah ketika dikatakan kepadaku, ‘Apakah engkau mengetahui atau tidak?
Aku menjawab, ‘Aku mengetahui’. Maka tidak ada satupun ayat dari Kitabullah
yang memerintahkan atau melarang melainkan mendatangiku menanyakan perintah dan
larangannya. Ayat yang memerintahkan bertanya apakah engkau kerjakan? Dan ayat
yang melarang bertanya apakah engkau tinggalkan? Maka Aku berlindung kepada
Allah dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyu’, dari nafsu
yang tidak puas, dan dari do’a yang tidak didengar”. (Hadis Riwayat Al Baihaqy,
Ad Darimy dan Ibnu Abdil Barr dari beberapa jalan dari Abu Darda’).
Berapa ramai orang yang mengingatkan manusia kepada Allah
sementara dia sendiri lupa kepadaNya. Berapa ramai orang yang menakut-nakuti
manusia dengan Allah ternyata dia berani menentang Allah. Berapa ramai orang
yang mengajak manusia mendekatkan diri kepada Allah, dia malah jauh dari Allah.
Berapa ramai orang yang menyeru mengajak manusia kepada Allah sedangkan dia
sendiri jauh dari Allah dan berapa ramai orang yang membaca Kitabullah lalu dia
melepaskan dirinya dari ayat-ayat Allah?
Sungguh, jika ilmu tidak membantu pemiliknya untuk
menjalankan ibadah kepada Allah s.w.t. maka tidak ada nilainya. Jika ilmu tidak
membuat pemiliknya dekat kepada Allah tidak ada gunanya. Dan jika ilmu tidak
menimbulkan perasaan takut kepada Allah maka ilmu itu tidak membawa kebaikan.
Oleh itu ilmu yang baik dan bermanfaat adalah ilmu yang
mendorong pemiliknya untuk beramal dengan segala perkara yang dapat mendekatkan
dia kepada Allah ‘Azza wa Jalla, menjalankan perintah Allah dan menjauhi
laranganNya dan tidak melampaui batasan-batasan yang ditetapkan oleh Allah.
Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan kepada kita ilmu yang
bermanfaat serta menjauhkan dari ilmu yang tidak bermanfaat